IPOH – Institusi masjid perlu keluar daripada kepompong pemikiran jumud dan lapuk, kepada pusat kecemerlangan ummah yang mana ia imej tidak sekadar tempat menunaikan solat dan pengajian yang terbatas kepada subjek agama semata-mata.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, masjid perlu aktif menggalas peranan pendidikan, pengembangan pelbagai ilmu duniawi dan ukhrawi, aktiviti keluarga dan remaja, pembangunan sosial serta ekonomi.
Malah baginda bertitah agar masjid turut hendaklah berperanan sebagai pusat memupuk adab, jati diri dan perpaduan masyarakat.
“700 buah masjid dan 1,773 buah surau di negeri Perak jangan dijadikan ‘gajah tidur’ tetapi hendaklah diaktifkan, sebagai pusat pembangunan ekonomi, perkembangan ilmu dan pembangunan sosiobudaya ummah.
“(Masjid juga perlu) diimarahkan dengan pelbagai aktiviti yang dapat menarik minat pelbagai peringkat usia anggota kariah, merangkumi anak-anak pada usia prasekolah, anak-anak di sekolah rendah, menengah, maktab dan universiti serta golongan belia,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Pengurniaan Watikah Yang Dipertua Dan Anggota Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Hakim Mahkamah Syariah Perak Dan Ahli Majlis Perundingan Masjid, Serta Penyerahan Zakat Perniagaan Dan Pendapatan di Royal Perak Golf Club (RPGC), dekat sini, pada Khamis.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh serta Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd Annuar Zaini.
Titah Sultan Nazrin, semua ahli jawatankuasa masjid di negeri ini pula diingatkan agar tidak bersifat memekakkan telinga terhadap isu-isu yang ada kaitan secara langsung dengan kehidupan ummah.
Baginda bertitah, ahli-ahli kariah juga tidak boleh bersifat memejamkan mata terhadap cabaran yang berlaku dalam persekitaran kehidupan Umat Islam.
“Ahli-ahli jawatankuasa masjid hendaklah berfikiran besar, membolehkan masjid berperanan lebih dinamik, melalui pemikiran yang dikeluarkan dari kotak sempit.
“Minda perlu dimerdekakan dari kepompong pemikiran lama yang telah disemai oleh penjajah secara terancang, dengan muslihat tersirat mahu membatasi peranan masjid kepada urusan-urusan ibadat yang ditakrif dengan dimensi yang sempit,” titah baginda lagi.
Di samping itu Sultan Nazrin bertitah, masjid perlu peka kepada keadaan persekitaran, cabaran dan masalah yang dihadapi oleh ummah semasa dengan tampil ke hadapan mengambil tanggungjawab fardu kifayah menangani tiga perkara.
Titah baginda, perkara tersebut adalah mengoptimumkan penggunaan kawasan masjid dengan tanaman sayur dan buah-buahan, penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar serta pelaksanaan program mengilmukan ahli kariah dengan amalan gaya hidup sihat.
“Melalui bimbingan Jabatan Alam Sekitar, 20 buah masjid kini terlibat aktif dalam program kitar semula dan penjagaan alam sekitar.
“Sempena sambutan Hari Alam Sekitar Negara peringkat negeri Perak, tujuh buah masjid diiktiraf untuk menerima penganugerahan masjid lestari kerana berjaya mengumpulkan sisa plastik dan e-waste (sisa elektronik) terbanyak di negeri Perak,” titah baginda. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Silat di masjid dibenarkan selagi tidak bercanggah ajaran Islam – JAIPk


