KUALA LUMPUR – Adalah amat mudah untuk menggunakan sentimen bahawa artifak sejarah kita yang kini dalam pemilikan dan simpanan pihak luar negara telah `dicuri’ sewaktu penjajahan negara kita dahulu oleh pelbagai kuasa dunia, justeru hendaklah dibawa pulang sebagai hak milik kita.
Biarpun benar ada yang telah diambil dengan cara yang tidak betul, namun hakikatnya, sepanjang peradaban sejarah negara sebelum merdeka, kerajaan-kerajaan terdahulu banyak berhubung dan berkongsi pelbagai perkara termasuk cenderakenangan yang kini menjadi artifak sejarah bersama.
Apa jua bentuk artifak sejarah, jika ingin dibawa pulang atau dimiliki semula, tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya dan perlu melalui proses yang betul berlandaskan undang-undang.
Titah Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah kepada Royal Press Office, manuskrip dan surat-surat Raja Melayu yang dipamerkan sewaktu lawatan Seri Paduka Baginda adalah milik keluarga waris Sir Stamford Raffles yang telah diserahkan kepada British Library untuk tujuan penyelidikan serta simpanan.
Ini termasuk salinan hikayat-hikayat ataupun cetakan buku yang mana pada zaman penjajahan British, apa jua buku dan hasil cetakan yang dihasilkan di Tanah Melayu akan dihantar satu salinan untuk simpanan British Library di London.
“Sebagai contoh, jika kita mempunyai surat-surat yang diutuskan kepada nenek moyang kita daripada pihak luar, adakah wajar ianya dituntut oleh waris pihak yang mengutuskan surat itu sebagai hak milik mereka, dan kita menyerahkannya kepada mereka?
“Ia adalah bukti perhubungan antara kedua-dua pihak dan dalam konteks sejarah, wajar disimpan sebaiknya.
“Ini yang dilakukan oleh British Library dan bermacam lagi institusi sepertinya, termasuk di negara kita sebagai usaha memelihara sejarah dan teladannya untuk diselidik oleh generasi kini dan masa hadapan.
“Salinan-salinan asal yang dipamerkan untuk rombongan Johor tempoh hari telah disimpan rapi dengan keadaan kelembapan udara yang dijaga dengan teliti agar tidak rosak.
“Ia juga telah dikongsikan di atas talian dalam bentuk digital untuk para penyelidik. Ini adalah lebih utama bagi mempelajari tentang ketamadunan bangsa kita, berbanding soal pemilikan artifak dan dokumen semata-mata,” titah Seri Paduka Baginda seperti dimuat naik di laman sosial Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar malam tadi.
Titah Raja Zarith Sofiah, asas lawatan ke British Library tempoh hari adalah bagi menggalakkan penyelidikan yang lebih mendalam tentang sejarah ketamadunan Melayu agar menjadi teladan dalam mencorak dan merancang masa depan bangsa ini di masa akan datang. – MalaysiaGazette


