Isu hak milik strata Rumah Pangsa Taman Bersatu jangka selesai Mei 2027

TAIPING – Proses mendapatkan hak milik strata membabitkan 310 unit di di Rumah Pangsa Taman Bersatu, Kampung Boyan dekat sini dijangka selesai pada Mei 2027.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) telah dilantik sebagai pemilik tanah bagi membantu menyelesaikan isu yang membelenggu penduduk hampir tiga dekad itu.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching pada sidang media Sesi Town Hall Skim Rumah Pangsa Taman Bersatu, Kampung Boyan, Taiping. Foto ABDULLAH YUSOF, 22 DISEMBER 2025.

Katanya, meskipun skim rumah pangsa yang terdiri daripada empat blok unit kos rendah dan kos sederhana itu telah mula didiami pada 9 Mei 1994, namun penduduk masih belum menerima hak milik strata masing-masing.

“Keadaan ini terjadi kerana syarikat pemaju dan pemilik asal skim perumahan ini telah digulungkan sehingga menimbulkan cabaran dari sudut teknikal, kewangan serta pelarasan proses pengeluaran hak milik strata.

“Situasi tersebut menyebabkan pemilik petak terpaksa menunggu hampir tiga dekad, suatu tempoh yang amat panjang, untuk memperoleh dokumen hakmilik strata yang sewajarnya menjadi hak setiap pemilik kediaman,” katanya.

Penduduk ketika sesi soal jawab pada Sesi Town Hall Skim Rumah Pangsa Taman Bersatu, Kampung Boyan, Taiping. Foto ABDULLAH YUSOF, 22 DISEMBER 2025.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sesi Town Hall atau Dialog Awam Skim Rumah Pangsa Taman Bersatu Kampung Boyan, dekat sini, pada Isnin.

Hadir sama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LPHP, Zaiteena Wan Nasir serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pokok Assam, Ong Seng Guan.

hak milik strata Rumah Pangsa Taman Bersatu Rumah Pangsa Taman Bersatu Kampung Boyan hak milik strata Taiping LPHP selesaikan isu strata perumahan kos rendah Perak Sandrea Ng Shy Ching perumahan
Penduduk Rumah Pangsa Taman Bersatu, Kampung Boyan, Taiping. Foto ABDULLAH YUSOF, 22 DISEMBER 2025.

Rumah Pangsa Taman Bersatu Kampung Boyan merupakan skim perumahan swasta bertingkat yang merangkumi empat empat blok bangunan setinggi lima tingkat.

Blok A dan B terdiri daripada unit kos rendah, manakala Blok E dan F terdiri daripada unit kos sederhana.

Shy Ching memberitahu, LPHP akan bertanggungjawab untuk menguruskan pendaftaran hak milik blok bagi tapak rumah ke atas lembaga itu terlebih dahulu, sebelum proses pengeluaran hak milik strata dapat dilaksanakan.

hak milik strata Rumah Pangsa Taman Bersatu Rumah Pangsa Taman Bersatu Kampung Boyan hak milik strata Taiping LPHP selesaikan isu strata perumahan kos rendah Perak Sandrea Ng Shy Ching perumahan
Penduduk Rumah Pangsa Taman Bersatu, Kampung Boyan, Taiping. Foto ABDULLAH YUSOF, 22 DISEMBER 2025.

Ujar beliau, LPHP diharap dapat membolehkan perancangan serta pelaksanaan tindakan yang lebih tersusun, sistematik dan berkesan bagi menyelesaikan isu pengeluaran hak milik strata Skim Rumah Pangsa Taman Bersatu.

“Sejak sekian lama penduduk berhadapan dengan pelbagai isu seperti tidak dapat melakukan urusan pindah milik untuk tujuan jual atau pusaka kepada waris.

“Selepas perbincangan dengan semua pihak yang terlibat, akhirnya kerajaan negeri ambil keputusan untuk campur tangan, kerana jika tidak, isu ini tidak berpenghujung,” katanya lagi.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching melawat sekitar Rumah Pangsa Taman Bersatu, Kampung Boyan, Taiping. Foto ABDULLAH YUSOF, 22 DISEMBER 2025.

Menurut Shy Ching, untuk langkah awal kerajaan negeri melalui LPHP akan memberi penerangan kepada penduduk tentang gambaran sebenar dan prosedur yang perlu dilalui bagi mendapatkan hak milik strata masing-masing.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri untuk memastikan penyediaan dan pemilikan kediaman khususnya kediaman kos rendah dan kos sederhana, dapat diselaras serta diurus dengan lebih berkesan demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

“Selaras dengan tema aspirasi Kesejahteraan Sosial dan Keselamatan di dalam Pelan Perak Sejahtera 2030, agenda perumahan akan terus menjadi fokus utama Kerajaan Negeri dalam melaksanakan amanah dan mandat demi kesejahteraan rakyat,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Lihat semula Dasar Perumahan Negeri Perak 2018-2025 – Pakar

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI