IPOH – Penderitaan adik Firas Affan Mohd Fauzi, penghidap ketumbuhan ‘germ cell’ mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang akan menyalurkan bantuan bulanan sebanyak RM500 bermula Januari depan.
Exco Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, bantuan di bawah kategori pesakit kronik terlantar itu akan diserahkan kepada Mohd Fauzi Saad, 43, bapa kepada kanak-kanak terbabit.
Menurutnya, keluarga berkenaan turut menerima bantuan Kad Perak Sejahtera bermula Oktober lalu.
“Kita berharap tindakan-tindakan dapat mengurangkan sedikit beban yang ditanggung oleh keluarga berkenaan,” katanya selepas menziarahi kanak-kanak berusia 14 bulan itu di rumah keluarganya di Bandar Baru Lahat, di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan atas maklum balas yang diterima daripada pelbagai pihak termasuk komuniti setempat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih atas makluman yang diberikan. Perkara ini yang kita selalu mohon terutamanya komuniti atau NGO supaya terus memaklumkan kepada kita (kerajaan negeri) sekiranya ada tindakan yang boleh dilakukan bagi mengurangkan beban mereka yang memerlukan di Perak,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd Fauzi berkata, sejak kisah anaknya dipaparkan menerusi artikel di media sosial, ramai yang tampil menghulurkan sumbangan.
“Sumbangan yang diterima lepas untuk tampung untuk pelajaran anak serta bagi tujuan berulang-alik ke hospital.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat. Kalau tidak, mungkin semua tidak tahu (kisah anaknya) dan saya bersyukur kepada Allah SWT atas bantuan yang dihulurkan,” ujarnya.
Terdahulu media melaporkan anak lelakinya yang berusia 14 bulan itu dikesan menghidap penyakit tersebut pada Oktober lalu selepas mata kanan anak bongsu daripada empat beradik tersebut seperti terjojol dan bengkak luar biasa pada muka. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


