KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menilai Gobind Singh Deo silap sekiranya menganggap reformasi terhadap polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti diteruskan supaya kes seperti 1MDB tidak berulang.
Menurutnya, Pengerusi Kebangsaan DAP itu gagal melihat secara menyeluruh motif kes 1MDB, bermula daripada pertuduhan hinggalah perbicaraan berlangsung.
Ia ujar beliau, terutama berkenaan isu pokok yang wajib diulang iaitu perbicaraan tidak adil, political persecution dan selective persecution.
“Pada kami, kalau kita percaya Najib bersalah atas lunas undang undang, maka bodohlah kita.
“Bukankah PMX percaya, ini pertuduhan terburu-buru, penuh dendam dan beracun?” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sementara itu, Mohd Puad turut mempersoalkan bagaimana kes 1MDB tidak akan berulang lagi ketika DAP berdiam diri apabila ahli perniagaan, Jho Low dan Nik Faisal Ariff Kamil gagal dicari.
Katanya, DAP juga membisu meskipun bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz belum didakwa sehingga ke hari ini.
“The Edge 8 Mac 2021 mendakwa lebih RM 700 juta dana berkaitan 1MDB telah masuk ke akaun bank yang dikaitkan dengan keluarga Zeti.
“Apakah Zeti tidak tahu hubungan suaminya Tawfiq Ayman dengan Jho Low dalam syarikat ADKMIC? Dia Gabnor Bank Negara. Mustahil dia tidak tahu sebarang transaksi yang berlaku?
“Sebab itu apa jaminan ia tidak akan berulang jika kamu (DAP) menutup mata sebelah dan bersikap selektif?
“Sebab itu kamu (DAP) dihukum “total loss” di Sabah. Itu permulaan,” katanya.
Dalam masa sama, tambah Mohd Puad, sikap DAP yang yang amat selektif dalam memperjuangkan sesuatu isu juga menjadi penghalang besar kepada reformasi seperti yang dimaksudkan Gobind.
Katanya, DAP hanya berminat kepada kes yang melibatkan kaum tertentu, sebagai contoh terlalu obses dalam isu Teoh Beng Hock.
Namun, ujarnya, DAP berdiam diri kes pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Syamsul Haris Shamsudin yang mana keluarga Allahyarham dengan dibantu ADUN Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz berjuang sendiri mencari keadilan hingga akhirnya dikategorikan sebagai kes bunuh. – MalaysiaGazette


