IPOH – Seorang peniaga didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu atas tiga pertuduhan memberi suapan bernilai RM10,000 kepada seorang ejen Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai ganjaran untuk tidak mengambil tindakan ke atas kegiatan Bitcoin sejak lima tahun lalu.
Tertuduh, Tiang Soon Ying, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa di hadapan hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada empat anak itu didakwa memberikan suapan kepada ejen TNB sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang bagi aktiviti perlombongan mesin Bitcoin dengan jumlah RM10,000.
Ia ekoran tertuduh disyaki telah mengganggu, mengambil dan mengguna bekalan elektrik termasuk merosakkan pepasangan milik TNB bagi aktiviti itu di beberapa premis di sekitar Johor.
Tertuduh didakwa melalukan kesalahan rasuah di tiga lokasi berbeza iaitu di Taman Samudera Seri Manjung dalam daerah Manjung, Sungkai di Batang Padang serta Ipoh di Kinta antara 4 November 2021 hingga 19 Januari 2022.
Soon Ying dituduh di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta yang sama.
Dia boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun, dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Sharul Azuan Ghazali sementara tertuduh diwakili peguam, Hong Chong Hang.
Ketika prosiding, Sharul Azuan meminta mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan serta dikenakan syarat tambahan termasuk melaporkan diri ke pejabat SPRM pada setiap bulan serta, tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Chong Hang pula kemudian memohon mahkamah agar mengenakan wang jaminan minima memandangkan tertuduh perlu menanggung isteri dan kesemua anak yang masih bersekolah.
Kata beliau, lelaki itu tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau dalam data sebelum ini di samping memberi kerjasama yang baik kepada siasatan SPRM.
Hakim membenarkan tertuduh dikenakan jamin sebanyak RM18,000 bersama seorang penjamin dengan perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM Manjung setiap bulan sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 18 Mac depan sebagai tarikh serahan dokumen. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Bekas PTD, dua isteri direman bantu siasatan kes rasuah tender perolehan TDM


