Sabri Zali fail saman fitnah, kemuka 18 tuntutan terhadap Chegubard

KUALA LUMPUR – Presiden Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas), Laksamana Madya Datuk Sabri Zali memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi di sini mengemukakan sebanyak 18 tuntutan terhadap aktivis Pembela Tanah Air (Peta), Chegubard berhubung beberapa kenyataan yang didakwa berunsur fitnah.

Sabri menamakan Chegubard atau Badrul Hisham Shaharin sebagai defendan berkaitan kenyataan yang didakwa dibuat antara Julai 2024 hingga Disember lalu.

Peguam plaintif, Muhamad Firdaus Jumaludin berkata, tindakan saman itu antara lain menuntut ganti rugi atas dakwaan kerosakan serius terhadap reputasi anak guamnya susulan tohmahan dan cemuhan yang disebarkan.

Bagaimanapun jumlah ganti rugi belum ditentukan buat masa ini.

“Kami juga akan memohon injunksi supaya semua kenyataan yang dipertikaikan itu diturunkan,” katanya kepada media di lobi Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Menurut Firdaus, saman itu diteruskan selepas defendan didakwa tidak memberi sebarang maklum balas terhadap surat tuntutan yang menggesa agar kenyataan berkenaan ditarik balik.

Beliau menegaskan, kenyataan tersebut bersifat tidak benar, mengelirukan dan berbaur fitnah sekali gus menjejaskan imej serta kredibiliti anak guamnya sebagai seorang pegawai kerajaan.

Tambahnya, kesan fitnah itu menjadi lebih serius apabila disertai tohmahan liar di ruangan komen yang menurutnya tidak mampu dipulihkan hanya melalui penjelasan awam.

Sebelum ini, Chegubard mendakwa Sabri terbabit rasuah dengan mendedahkan satu set dokumen yang dikatakan merangkumi kertas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diterima oleh pertubuhan PETA pada Mei 2024. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI