KUALA LUMPUR – Bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Mohd Nizam Jaafar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan rasuah dan pecah amanah.
Ini melibatkan jumlah keseluruhan lebih RM3.7 juta berkaitan Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT).
Pengakuan itu dibuat selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Sepanjang prosiding, tertuduh kelihatan tenang sebelum mengangguk kepala selepas semua pertuduhan dibacakan.
Bagaimanapun beliau mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.
“Faham, Yang Arif. Tidak mengaku bersalah,” katanya.
Mengikut dua pertuduhan pertama, Mohd Nizam didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif TKAT bagi memperoleh suapan berjumlah RM267,481.90 dan RM285,000 untuk kepentingan diri.
Pendakwaan mendakwa tertuduh meluluskan pelantikan lima syarikat bagi pembekalan barangan bungkusan Hari Raya TKAT 2025, termasuk kain pelikat, kain batik, peralatan pelbagai guna, beg galas dan tuala mandi.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kementerian Pertahanan Malaysia, Jalan Padang Tembak, Kementah pada 24 Jun 2024 dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Bagi pertuduhan ketiga, Mohd Nizam didakwa melakukan pecah amanah jenayah ke atas wang RM3 juta milik TKAT apabila membuat pelaburan tambahan dalam sebuah syarikat tanpa kelulusan Jawatankuasa Pelaburan TKAT.
Perbuatan itu didakwa berlaku di lokasi sama pada 4 Oktober 2024 dan tertuduh berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan serta denda jika sabit kesalahan.
Sementara itu, bagi pertuduhan keempat, beliau didakwa menerima wang RM200,000 daripada seorang pengarah syarikat tanpa sebarang balasan, sedangkan individu terbabit diketahui mempunyai kaitan dengan urusan rasmi yang akan dikendalikan tertuduh sebagai PAT ATM.
Kesalahan tersebut didakwa berlaku di Wisma Transit Kuala Lumpur, Jalan Buku Lima, Kementah pada Mac 2025 dan dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Dalam prosiding berkenaan, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib manakala Mohd Nizam diwakili peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud. -MalaysiaGazette


