Dadah bernilai RM37.3 juta dirampas, banglo mewah jadi stor simpanan

IPOH – Polis berjaya membongkar stor penyimpanan dadah jenis methamphetamine dan methylenedioxymethamphetamine (MDMA) bernilai RM37.3 juta yang berselindung di sebalik sebuah banglo di sini pada Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, serbuan itu dijalankan JSJN Bukit Aman dan JSJN Kontinjen Perak selepas menerima maklumat berhubung sindiket pengedaran dadah yang didalangi warga asing.

Menurutnya, dua individu termasuk seorang wanita berusia lingkungan 30-an yang dipercayai terbabit dengan sindiket tersebut turut ditahan dalam serbuan itu.

“Hasil pemeriksaan telah menemui dadah jenis methamphetamine seberat 843.33 kilogram (kg), cecair dan serbuk disyaki bahan kimia seberat 679.22 kg serta pelbagai peralatan memproses dadah.

“Pemeriksaan lanjut yang dijalankan di tempat parkir kereta banglo tersebut turut menemui 618.24 kg bahan yang telah diproses menjadi ketulan simen dan analisa mendapati bahan tersebut mengandungi dadah jenis MDMA.

Beliau berkata demikian pada sidang media di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Jumaat.

Katanya, ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine serta masing-masing mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Susulan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan kedua-dua suspek direman selama 13 hari bermula 17 hingga 29 Januari,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Hussein berkata, siasatan mendapati sindiket itu dipercayai aktif sejak Disember 2024.

“Modus operandi sindiket ini menggunakan warga asing untuk dijadikan koordinator dengan menyewa kediaman elit sebagai lokasi strategik untuk stor penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Selain itu, JSJN sedang mengesan seorang lelaki warga China dengan kerjasama pihak counterpart yang disyaki terbabit dengan sindiket tersebut.

“Suspek berusia 40 tahun itu yang mempunyai empat rekod lampau telah masuk dan keluar Malaysia sebanyak lima kali dan kali terakhir adalah pada Ogos tahun lalu.

“Hasil semakan dengan pihak Narcotics Bureau Hong Kong mendapati suspek terbabit mempunyai empat rekod kesalahan memiliki dadah di Hong Kong dan masih dalam proses mengesan suspek,” ujarnya.

Hussein berkata, sindiket tersebut adalah sebahagian daripada sindiket besar yang didalangi warga asing dipercayai menjalankan operasi di makmal dadah haram sekitar Lembah Klang, Ipoh dan Pulau Pinang. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Polis tumpaskan dua sindiket dadah di Taiping, Batu Gajah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI