Tabung Haji catat penurunan jumlah pendeposit tangguh tawaran haji

KUALA LUMPUR – Tabung Haji mencatat penurunan ketara jumlah pendeposit yang menangguhkan tawaran menunaikan ibadah haji bagi musim 1447 Hijrah.

Daripada 50 peratus pada musim haji lepas kepada 18 peratus tahun ini berikutan pelaksanaan inisiatif persediaan kewangan dan pendidikan jemaah secara lebih sistematik, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli.

“Penting bagi umat Islam tahu bahawa syarat ini perlu dipenuhi, iaitu merangkumi empat elemen utama, kewangan yang mencukupi, kesihatan yang baik, keselamatan perjalanan dan kebenaran ataupun kuota daripada pihak kerajaan Arab Saudi,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Marhamah berkata demikian menjawab soalan lisan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) yang meminta kerajaan mengemukakan langkah jangka pendek dan jangka panjang Kerajaan bagi mempermudah akses pendeposit Tabung Haji menunaikan ibadah haji.

Langkah itu, katanya, supaya mereka tidak menghadapi kebimbangan dari segi kewangan dan kesihatan bagi memastikan pendeposit tidak ketinggalan atau menolak tawaran menunaikan ibadah haji seperti yang berlaku pada musim haji 1446H.

Dalam pada itu, Marhamah menjelaskan, antara faktor utama penangguhan tawaran haji ialah kekurangan simpanan mencukupi selain masalah kesihatan, urusan peribadi dan pendidikan anak-anak.

Berdasarkan data Tabung Haji, Marhamah berkata, lebih 53 peratus daripada sembilan juta pendeposit mempunyai simpanan kurang RM1,300.

Bagi menangani isu itu, Tabung Haji telah memperkenalkan beberapa inisiatif termasuk penetapan kadar simpanan minimum RM15,000 bagi memastikan bakal jemaah menepati syarat kewangan sebelum tahun giliran mereka.

Usaha itu juga bertujuan mempromosikan Tabung Haji sebagai institusi simpanan dan kewangan Islam pilihan utama masyarakat Muslim di Malaysia.

Dalam pada itu, Marhamah berkata, sebanyak 36 peratus penolakan adalah atas faktor masalah kesihatan, 37 peratus masalah peribadi dan 10 peratus atas faktor-faktor lain.

Selain itu, Tabung Haji melancarkan inisiatif simpanan sistematik jangka panjang dan memperkasakan pendidikan bakal jemaah dengan kursus asas dua tahun sebelum tahun giliran haji, termasuk persediaan kesihatan.

Bagi soalan tambahan mengenai model pemilihan jemaah, senator itu berkata, kerajaan sedang meneliti pendekatan bersasar dengan mengambilkira giliran pendaftaran, kemampuan kewangan minimum, umur dan kesiapsiagaan jemaah.

“Banyak perkara perlu diambil kira, termasuk kos haji dan kuota. Insya-Allah, pihak Tabung Haji akan cuba seaktif mungkin menangani perkara-perkara ini,” katanya.

Beliau menegaskan, langkah strategik itu bertujuan memastikan penyertaan ibadah haji lebih tersusun, berdisiplin dan memberi manfaat optimum kepada semua pendeposit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI