IPOH – 1969 D’ Kelly Hotel mengambil langkah proaktif menyokong kelestarian alam sekitar dengan menggunakan kotak bagi menggantikan beg plastik untuk membungkus makanan yang akan dijual di Bazar Di Kelly sempena Ramadan ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Headlines International Sdn Bhd, Tony Wong berkata, penggunaan kotak itu tercetus daripada pemerhatiannya terhadap keperluan pengunjung bazar, khususnya mereka yang menaiki motosikal atau membawa pulang makanan dalam kuantiti banyak.

“Kotak ini sebenarnya tercetus daripada idea kami. Saya telah melawat banyak bazar dan mendapati kebanyakan pengunjung menggunakan beg plastik apabila membawa makanan dengan motosikal atau kereta, namun ia agak sukar untuk digantung.
“Oleh itu, kotak ini direka dengan ‘telinga’ di bahagian kiri dan kanan dan ia membolehkan kotak disusun bertindan antara satu sama lain serta memudahkan pengunjung yang menaiki motosikal membawa pulang makanan.

“Selain praktikal, kotak tersebut juga menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar kerana boleh dikitar semula dan digunakan semula untuk pelbagai tujuan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri prebiu Bazar Di Kelly di 1969 D’Kelly Hotel pada Khamis.

Dalam pada itu, Tony berkata, langkah menghapuskan penggunaan beg plastik dilihat selari dengan hala tuju negara.
“Menjelang tahun 2030, kebanyakan hotel juga diwajibkan untuk tidak lagi menggunakan plastik sepenuhnya dan kami mengambil pendekatan tradisional dengan sasaran untuk mencapai penggunaan 100 peratus menggunakan produk kitar semula,” jelasnya.

Sempena Ramadan ini, hotel berkenaan menganjurkan Bazar Di Kelly yang menghimpunkan pelbagai hidangan kegemaran tempatan dan sajian berinspirasikan antarabangsa yang menawarkan pengalaman bazar.
Antara menu istimewa yang disediakan termasuk Martabak Lobster Rose Onion bersama Kuah Kari, Roti John Chicken Cheese, Sup Daging Berempah, Mac & Cheese Meatball, Sambal Petai Lobster, Daging Wagyu, Seafood Shokubun, Nasi Dagang Gulai Ikan Salmon, Nasi Arab Kambing Bakar, Chicken Shawarma serta Slipper Lobster Char Kueh Tiao.

Selain itu, orang ramai berpeluang menikmati Stesen DIY Your Drink yang menawarkan 10 jenis minuman antaranya Chocolate Cadbury, Yoghurt Strawberry dan Teh Susu, lengkap dengan pelbagai pilihan kondimen untuk disesuaikan mengikut cita rasa.
Bazar Di Kelly akan beroperasi setiap hari bermula dari 20 Februari hingga 19 Mac dari jam 4 petang hingga 8 malam di 1969 D’ Kelly Hotel dengan harga bermula serendah RM6 untuk minuman sehingga RM48 bagi hidangan premium. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
My Save Food @ Bazar Ramadan PUO berjaya tingkat kesedaran elak lebihan makanan


