Bomba Perak terima 60 panggilan sehari susulan cuaca panas

IPOH – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak mencatatkan purata 60 panggilan kecemasan sehari membabitkan kes kebakaran susulan cuaca panas dan kering yang berlaku di negeri ini.

Pengarah JBPM Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, daripada jumlah tersebut, kira-kira 40 peratus panggilan melibatkan kebakaran terbuka terutamanya kebakaran lalang, kebun dan tapak pelupusan sampah.

Menurutnya, kebakaran melibatkan lalang sebelum ini hanya sekitar 0.4 sehingga 0.8 hektar, namun semenjak cuaca panas keluasannya boleh mencecah sehingga 2 hektar dan perkara itu amat membimbangkan sekiranya kebakaran tersebut tidak dapat dikawal.

“Justeru, saya ingin mengingatkan supaya masyarakat bersama-sama mengekang aktiviti-aktiviti pembakaran terbuka ini.

“Cuaca yang panas ini akan menyebabkan kemerebakan api berlaku dengan cepat. Saya juga ingin mengingatkan ibu bapa dan masyarakat supaya lebih peka, terutamanya kepada perokok, pastikan pembuangan puntung rokok tidak mencetuskan pembakaran terbuka.

Bomba Perak terima 60 panggilan sehari susulan cuaca panas
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon memeriksa perbarisan pada Majlis Perbarisan Tahunan Tahun 2026 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak di Dewan Premier Dato’ Sri Ts. Mohammad Hamdan, Ibu Pejabat JBPM Negeri Perak, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF 06 FEBRUARI 2026.

“Ibu bapa juga perlu memantau anak-anak dan mengelakkan mereka daripada bermain dengan punca-punca api yang boleh menyebabkan kebakaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Tahunan 2026 di Dewan Premier Dato Sri Ts Mohammad Hamdan di Ibu Pejabat JBPM Perak, Meru Raya di sini pada Jumaat.

Sayani turut meminta semua pihak untuk bekerjasama dalam menangani risiko kebakaran ketika musim panas.

Sehubungan itu, beliau meminta masyarakat supaya lebih cakna pada musim ini dan tidak melakukan pembakaran terbuka, namun sekiranya pembakaran terpaksa dilakukan, ia hendaklah dipantau dengan rapi dan tidak ditinggalkan tanpa kawalan.

Tambahnya, kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) mungkin diperlukan, termasuk mengenakan denda terhadap pelaku pembakaran terbuka, sebagai langkah untuk mengekang masalah tersebut. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Kajian cadangan bina balai bomba JRTB diserah kepada KPKT

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI