TANJUNG MALIM – Seorang lelaki parah selepas kaki kanannya terkena parang ketika melakukan kerja menebang pokok di atas bukit di Kampung Sungai Dara, Behrang Ulu di sini pada Ahad.
Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.50 pagi.
Menurutnya, pihaknya menerima maklumat terdapat seorang mangsa lelaki yang mengalami kecederaan di bahagian kaki serta tidak mampu bergerak dan berada di atas bukit.
“Laluan untuk ke tempat mangsa perlu melalui jalan off road dan tidak boleh dilalui oleh jentera bomba.
“Anggota terpaksa menggunakan kenderaan pacuan empat roda sebelum berjalan kaki bagi sampai ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, ketua operasi dimaklumkan terdapat seorang lelaki berumur 45 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kaki kanan selepas terkena parang ketika menjalankan kerja menebang pokok,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Katanya, ketua operasi kemudiannya melakukan penilaian situasi dan mengarahkan anggota memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum membawanya turun menggunakan pengusung.
“Mangsa seterusnya dibawa keluar menggunakan kenderaan pacuan empat roda ke bawah bukit dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada jam 12.15 tengah hari. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


