TAPAH – MIC bersama Malaysia Hindu Sangam (MHS) akan menubuhkan satu jawatankuasa bagi memantau serta membantu menyelesaikan isu melibatkan pembinaan rumah ibadat di atas tanah tanpa kebenaran termasuk berperanan sebagai mediator antara pihak berkaitan.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan berkata, pendekatan berhemah perlu diambil sekiranya melibatkan keperluan pemindahan rumah ibadat, termasuk memberi masa kepada pihak terlibat mencari lokasi alternatif.
“Kita akan tubuhkan satu jawatankuasa untuk memantau dan membantu. Kalau kita perlu katakan tanah itu bukan tanah hak milik rumah ibadat, kita boleh jadi mediator di antara pihak kuil dengan tuan tanah supaya kita boleh cari jalan penyelesaian.
“Mungkin kalau mereka perlu dipindahkan, pindah secara berhemah, bagi mereka masa supaya mereka cari tanah alternatif.
“Bagaimanapun, kalau tuan tanah mahu semula tanah tersebut, kita terus kena serah, kita tidak boleh tuntut itu tanah kita,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Apresiasi Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, Sijil Tinggi Persekolah Malaysia (STPM) 2025 dan Dermasiswa IPTA/IPTS Parlimen Tapah di Dewan Merdeka di sini pada Rabu.
Dalam masa sama, Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah menegaskan pendiriannya bahawa pembinaan rumah ibadat di atas tanah milik pihak lain tanpa kebenaran adalah tidak wajar.
“Saya sebagai wakil rakyat, pemimpin masyarakat, tidak setuju jika orang bina apa juga tokong di atas tanah orang lain tanpa izin. Saya tegas dengan pendirian saya.
“Pada masa yang sama, sekiranya ada, itu harus jadi tindakan di antara kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemilik tokong,” ujarnya.
Menurutnya, masyarakat India di negara ini juga tidak menyokong pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran.
“Semua orang kena sedar, tiada masyarakat India di Malaysia sokong pembinaan rumah ibadat tanpa izin. Itu pendirian masyarakat India di negara ini.
“Saya nak kerajaan, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) semua faham, pendirian masyarakat India hari ini kita tidak menyokong mana-mana individu bina tokong di atas tanah orang lain. Itu salah,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


