TELUK INTAN – Sebanyak 42 kawasan ‘hotspot’ dan 32 kawasan ‘blackspot’ akan diberi tumpuan Polis Perak dalam Op Selamat 25 sempena sambutan Tahun Baharu Cina bermula 15 hingga 20 Februari 2026.
Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, tumpuan akan diberi dengan meningkatkan pemantauan di kawasan berkenaan yang merekodkan aliran trafik berkepadatan tinggi serta sering kali berlaku kemalangan.
“Untuk rekod di negeri Perak kita ada 42 ‘hotspot’ iaitu lokasi popular yang memang kita tahu akan berlaku kejadian aliran trafik perlahan.
“Selain itu ada 32 kawasan ‘blackspot’ yang mana merupakan kawasan sering kali berlaku kemalangan di seluruh negeri Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir merasmikan Kempen Kesedaran dan Keselamatan Jalan Raya sempena Tahun Baharu Cina 2026, di Plaza Tol Teluk Intan, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), di sini, pada Jumaat.
Mengulas lanjut mengenai Op Selamat 25 di Perak, Mohammad Azlin berkata, seramai 555 pegawai dan anggota akan ditugaskan bagi memastikan kelancaran lalu lintas dan keselamatan pengguna jalan raya semasa perayaan Tahun Baharu Cina 2026.
Beliau berkata, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak akan memberi perhatian khusus kepada enam kesalahan trafik yang dikenal pasti menjadi penyumbang kepada kemalangan jalan raya sepanjang musim perayaan.

“Ada enam perkara yang dikatakan selalu menyumbang kepada kemalangan dan aliran lalu lintas trafik seperti memandu melebihi had laju; memandu di lorong kecemasan; memotong di garisan berkembar; memotong barisan; tidak mematuhi lampu isyarat dan menggunakan alat komunikasi semasa memandu,” katanya.
Mohammad Azlin turut menasihati pengguna jalan raya agar merancang perjalanan supaya tidak terlibat dengan kesesakan lalu lintas selain menjalankan pemeriksaan kenderaan terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan.
“Di samping itu, hendaklah sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya demi menjamin keselamatan bersama,” katanya. -MG Perak


