Jalan Perajurit akan dinaik taraf, elak risiko kemalangan – Howard Lee

IPOH — Projek menaik taraf Jalan Perajurit, Taman Ipoh Timur di sini melibatkan pembinaan dua lampu isyarat, penganjakan pembahagi jalan serta pelebaran laluan bakal dilaksanakan bagi meningkatkan keselamatan dan kelancaran trafik di kawasan tersebut.

Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How berkata, projek itu dirancang selepas melalui proses libat urus bersama penduduk dan peniaga sekitar, memandangkan jalan berkenaan adalah laluan utama ke kawasan sekitar termasuk Tambun serta akses ke Bercham dan Ipoh Barat.

Menurutnya, dalam tempoh antara 10 hingga 15 tahun kebelakangan ini, kemalangan jalan raya kerap berlaku terutama di dua persimpangan utama menuju Bercham dan laluan masuk premis perniagaan di Jalan Perajurit.

“Cadangan menaik taraf jalan dikemukakan kira-kira dua tahun lalu sebagai langkah intervensi untuk memperlahankan serta mengatur aliran trafik supaya pergerakan keluar masuk kenderaan lebih teratur dan risiko kemalangan dapat dikurangkan.

Jalan Perajurit akan dinaik taraf, pasang lampu isyarat, elak kemalangan
Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How ketika Sesi Penerangan Cadangan naik taraf Persimpangan di Jalan Perajurit dan Jalan Perajurit 6, Taman Ipoh Timur, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF 23 FEBRUARI 2026.

“Peruntukan bagi pemasangan dua lampu isyarat telah diluluskan tahun lalu, namun pelaksanaan mengambil masa kerana pihak terlibat mendapatkan pandangan pemegang taruh termasuk penduduk dan peniaga,” katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas menghadiri Sesi Penerangan: Cadangan naik taraf persimpangan Jalan Perajurit dan Jalan Perajurit 6, Taman Ipoh Timur, di sini pada Isnin.

Hadir sama, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak merangkap Ahli Dewan Undangan (ADUN) Canning, Jenny Choi Tsi Jen.

Dalam pada itu, Howard Lee berkata, keputusan untuk meneruskan projek dibuat walaupun tidak semua pihak bersetuju sepenuhnya, memandangkan keperluan mendesak untuk meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.

Jalan Perajurit akan dinaik taraf, pasang lampu isyarat, elak kemalangan
Penduduk melihat pelan cadangan naik taraf persimpangan di Jalan Perajurit dan Jalan Perajurit 6, Taman Ipoh Timur, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF 23 FEBRUARI 2026.

“Jadi tadi saya telah memberi satu komitmen dan akhirnya memang walaupun bukan semua setuju dengan cadangan tetapi setuju perlu ada tindakan,” ujarnya.

Pada yang sama, beliau turut memberi jaminan bahawa pelaksanaan projek akan dipantau dan boleh disemak semula jika mendatangkan kesan negatif.

“Sekarang saya memohon jasa baik dan kepercayaan untuk beri amanah kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk melaksanakan rancangan yang ada.

“Bagaimanapun, sekiranya dalam tempoh tiga atau enam bulan, keputusan atau apa yang dihasilkan nanti adalah lebih mudarat atau lebih negatif daripada yang sedia ada, kita bersedia untuk dengar, pinda dan olah lagi,” jelasnya.

Howard Lee berkata, projek itu dijangka mengambil masa 16 minggu dan akan dimulakan dalam masa terdekat termasuk tempoh pemantauan sebagai projek perintis serta tempoh tanggungan kecacatan (DLP) seperti yang ditetapkan dalam kontrak. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Kerja baik pulih Jambatan Jalan Tun Abdul Razak siap Februari ini

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI