‘Selamat tinggal‘ plastik sekali guna, tekad Perak demi kelestarian alam

TINGGAL beberapa hari sahaja lagi Perak akan mengucapkan ‘selamat tinggal‘ kepada penggunaan plastik sekali guna.

Larangan yang bermula 1 Mac ini adalah langkah strategik kerajaan negeri dalam  usaha memperkukuh kelestarian alam sekitar selaras dengan agenda Perak Sejahtera 2030.

Langkah tersebut menjadi usaha penting dalam mengurangkan pencemaran alam sekitar serta membendung peningkatan sisa plastik yang semakin membimbangkan.

Pelaksanaan larangan tersebut mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memupuk kesedaran masyarakat terhadap amalan gaya hidup lebih lestari serta menggalakkan penggunaan alternatif mesra alam.

Bagaimanapun, persoalan tentang tahap kesiapsiagaan peniaga dan pengguna masih menjadi perhatian, khususnya dari segi penyesuaian kepada perubahan yang bakal dilaksanakan.

Penguatkuasaan larangan itu dijangka memberi pelbagai manfaat kepada Perak, termasuk mengurangkan jumlah sisa pepejal serta beban pelupusan, di samping melindungi sungai, pantai dan biodiversiti negeri.

Ini secara tidak langsung meningkatkan kesedaran awam terhadap gaya hidup lestari dengan menggunakan bahan alternatif mesra alam, memperkukuh imej negeri sebagai destinasi pelancongan hijau serta menyokong pembangunan ekonomi kitaran dan inovasi hijau.

Perak ucap ‘selamat tinggal‘ kepada plastik sekali guna demi kelestarian alam
Bekas makanan digunakan bagi menggantikan beg plastik demi menjaga kelestarian alam.

Dalam pada itu, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, penguatkuasaan sepenuhnya tidak bermula pada 1 Mac kerana ia masih dalam proses pendidikan.

Menurutnya, walaupun larangan telah berkuat kuasa, kerajaan negeri memberi tempoh enam bulan sebagai fasa pendidikan dan penyesuaian sebelum tindakan penguatkuasaan sepenuhnya dilaksanakan.

Tambahnya, tersebut adalah untuk memastikan masyarakat benar-benar faham dan dapat menyesuaikan diri sehingga penggunaan plastik dapat dikurangkan kepada sifar.

“Bermula Mac larangan itu sudah berkuat kuasa, tetapi tindakan penguatkuasaan tidak dilaksanakan serta-merta kerana kita mahu memberi masa kepada orang ramai membiasakan diri serta memberi ruang untuk kempen kesedaran dan hebahan.

“Di bawah kerajaan negeri, pelbagai inisiatif digerakkan antaranya menyampaikan maklumat dan bekerjasama dengan pihak berkaitan.

“Tempoh enam bulan ini adalah kelonggaran sebelum tindakan seperti kompaun dilaksanakan. Jadi walaupun tindakan belum diambil, larangan itu sebenarnya sudah bermula pada Mac, cuma kita beri masa untuk penyesuaian.

“Sebelum ini, jika premis tidak menyediakan plastik, pengguna masih boleh membelinya pada harga tertentu, namun menerusi larangan penggunaan plastik sekali guna, walaupun pengguna sanggup membayar, ia tetap tidak dibenarkan,“ katanya.

Perak ucap ‘selamat tinggal‘ kepada plastik sekali guna demi kelestarian alam
Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim melihat beg plastik sempena lawatan kerja ke Pusat Kelestarian Plastik (PSC) di Aeon BiG Falim, Ipoh baru-baru ini.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kempen Hari Tanpa Beg Plastik di Bazar Ramadan Medan Gopeng, baru-baru ini.

Langkah itu, katanya, adalah satu komitmen yang diselaraskan di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) di semua negeri, dan Perak menyambut baik usaha ini.

Menurut Sandrea, terdapat banyak pilihan seperti beg guna semula dan pelbagai alternatif lain yang tidak memerlukan plastik sekali guna.

“Kita juga bekerjasama dengan pihak sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan semua pihak berkaitan untuk memastikan pelaksanaan kempen dan larangan ini berjalan dengan berkesan.

“Dari segi peniaga, mereka juga antara golongan yang banyak menggunakan beg plastik namun buat masa ini, larangan tersebut dikecualikan bagi pasar basah, pasar malam, pasar pagi dan premis makanan selain restoran makanan segera.

“Ini kerana kita melihat bagi kategori ini mungkin belum ada bahan alternatif yang benar-benar sesuai untuk menggantikan plastik sekali guna.

“Jadi kumpulan ini dikecualikan daripada larangan tersebut, dan pengecualian ini bukan kerana tempoh enam bulan. Memang pasar basah dan pasar pagi belum termasuk dalam pelaksanaan larangan itu buat masa ini,“ ujarnya.

Secara keseluruhannya, larangan ini bukan sekadar langkah kawal selia, tetapi sebahagian transformasi sosial dan alam sekitar bagi memastikan kesejahteraan generasi akan datang. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Larangan beg plastik pakai buang di Perak bermula 1 Mac 2026

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI