IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama Penjawat Awam di Laman Seri Ridzuan, dekat sini, pada Isnin.
Antara yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim serta Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Mohammad Zahir Abdul Khalid.

Majlis yang bermula sekitar jam 7 malam itu dimulakan dengan sesi bacaan ayat-ayat suci al-Quran sebelum disusuli dengan majlis berbuka puasa.
Saarani dan para tetamu kemudian menunaikan solat Maghrib, Isyak serta solat sunat tarawih berjemaah.


Terdahulu ketika berucap pada majlis, Menteri Besar Perak mengingatkan agar semua penjawat awam negeri untuk terus mengekalkan produktiviti dan prestasi kerja sepanjang bulan Ramadan.
Beliau juga berharap agar komitmen bekerja ketika berpuasa terus berada dalam keadaan baik agar prestasi hasil negeri dapat dipertingkatkan supaya manfaat dapat dikongsi kembali kepada rakyat.

“Islam mengajar kita bahawa produktivti pada bulan Ramadan tidak boleh berkurang, sebaliknya ia perlu berterusan dan lebih baik.
“Ini juga menunjukkan kepada kita bahawa berpuasa itu akan memberi kekuatan dalaman kepada kita untuk bekerja dengan terbaik, yang akhirnya akan memberi (pulangan kembali) kebaikan buat negeri kita,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


