Isu saham: Azam Baki letak jawatan atau kita (DAP) pergi – Poay Tiongq

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong hari ini mendesak Tan Sri Azam Baki meletakkan jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan isu pemilihan 17.7 juta saham.

Beliau menegaskan, sekiranya kerajaan gagal mengambil tindakan tegas, beliau serta ahli-ahli Parlimen daripada DAP mengugut untuk keluar daripada Kerajaan Perpaduan.

“Saya minta supaya kerajaan mengambil tindakan yang tegas, Azam Baki perlu letak jawatan. Dia perlu pergi atau kita pergi. Itu adalah pesanan saya.

“Ini kerana sekiranya kita membenarkan beliau terus memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM, pilihan raya akan datang, pengundi akan hukum kita.

“Saya harap masa bahasa saya tamat, tapi jangan tempoh kita jadi kerajaan tamat selepas pilihan raya akan datang,” katanya pada sesi perbahasan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini, media antarabangsa Bloomberg mendedahkan Azam memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Bhd berdasarkan pemfailan korporat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), selain melabelkan SPRM sebagai mafia korporat kerana didakwa bersekongkol dengan unit siasatan badan itu.

Poay Tiong juga berkata, penubuhan Jawatankuasa Siasatan Khas bagi menyiasat pemilihan saham Azam itu tidak mencukupi, sebaliknya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu ditubuhkan untuk membersihkan nama SPRM.

“Indeks Persepsi Rasuah negara kita telah meningkat tiga anak tangga, kini berada di tangga ke-54, saya risau tahun depan dia akan jatuh kerana dua laporan ini.

“Kita cuma tubuhkan satu pasukan petugas khas untuk menyiasat pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM akan tetapi tentang mafia korporat sampai hari ini, masih tidak ada apa-apa lagi tindakan daripada kerajaan.

“Saya mencadangkan supaya menubuhkan RCI untuk kita menyiasat kedua-dua laporan ini untuk kita membersihkan nama SPRM,” katanya.

Katanya lagi, pendedahan itu bukan perkara baharu bahkan Azam pernah dilaporkan memiliki saham lebih daripada yang dibenarkan pada 2022.

“Ini bukan kali pertama Ketua Pesuruhjaya SPRM melakukan kesalahan, bahkan ini pada 2022, Ketua Pesuruhjaya SPRM pada ketika itu juga memiliki saham lebih daripada yang dibenarkan.

“Ini merupakan kali kedua dibongkarkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI