BAGAN DATUK – Perbuatan memijak al-Quran dan menghina Nabi Muhammad SAW yang didakwa dilakukan oleh seorang pelajar di sebuah universiti tempatan baru-baru ini perlu dikenakan tindakan sewajarnya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini bagi memastikan perkara sama tidak terus berulang dan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini terus terpelihara.
Menurutnya, sebagai negara yang mempunyai pelbagai agama dan kaum, setiap individu perlu saling menghormati pegangan masing-masing serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menimbulkan ketegangan.
“Kita sangat memahami bahawa sebagai sebuah negara yang bermasyarakat majmuk, pelbagai agama dan kaum, tidak seharusnya berlaku perkara-perkara seperti (menghina agama) itu. Kita hendaklah menghormati apa jua agama.
“Dalam keadaan yang begitu tidak sepatutnya perkara ini berlaku dan kita hendaklah menghormati utamanya agama Islam yang merupakan agama persekutuan di Malaysia dan al-Quran adalah kitab suci.
“Tidak seharusnya pelajar universiti yang dianggap sebagai intelektual melakukan perkara itu dengan emosi, tentunya bertujuan untuk menghina
“Saya harap selepas hukuman dikenakan, beliau dan mana-mana pihak tidak akan melakukannya sekali lagi dan kita tidak mahu peristiwa ini berulang dan kita mesti memberikan pengajaran yang sepatutnya pada pelaku berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mydin Mart Bagan Datuk di Hutan Melintang di sini pada Jumaat.
Menyentuh mengenai sentimen perkauman yang semakin hangat di media sosial, Ahmad Zahid berkata, perasaan tersinggung dalam penganut agama adalah sesuatu yang boleh difahami apabila agama dihina.
“Mana-mana agama kalau dihina tentunya pengikut-pengikut akan merasa tersinggung dan saya harap tindakan yang sedang dilakukan oleh pihak berkuasa akan dapat meredakan kepada pelaku berkenaan.
“Jangan mengikut emosi, tetapi biarlah kita serahkan pada pihak berkuasa untuk menangani kesalahan yang dilakukan oleh pelaku berkenaan,“ ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki berusia 21 tahun yang menuntut di sebuah universiti tempatan di Pahang direman selama empat hari bermula 25 hingga 28 Februari bagi membantu siasatan selepas tular gambar memaparkan dirinya memijak al-Quran sebelum dimuat naik di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Ashari Abu Samah, berkata kes disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana melakukan tindakan menghina agama lain yang boleh dihukum penjara sehingga setahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Selain itu, beliau memaklumkan suspek turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.
Sebelum ini, tular gambar menunjukkan kaki seorang lelaki memijak al-Quran selain tangkap layar hantaran media sosial individu berkenaan yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


