BAGAN DATUK – Kerajaan terus giat menjalankan pemantauan situasi banjir di Sabah susulan peningkatan mangsa di beberapa daerah.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah mangsa di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) menunjukkan pengurangan di Paitan, Kota Marudu dan Pitas, namun meningkat di kawasan lain termasuk Beaufort dan Sipitang.
Menurutnya, agensi berkaitan sedang giat menyalurkan bantuan dan kebajikan kepada mangsa terjejas bagi memastikan keperluan mereka terus terjaga.
“Pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan lain-lain agensi penguatkuasaan sedang menyantuni mereka di sana.
“Saya harap hujan yang dijangka hingga ke bulan Mac tidak akan menjejaskan perayaan Hari Raya dan kita sama-sama berdoa agar luruan hujan itu akan berkurangan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mydin Mart Bagan Datuk di Hutan Melintang, di sini pada Jumaat.
Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, jumlah mangsa banjir di Sabah terus mencatat peningkatan kepada 6,655 orang daripada 2,326 keluarga setakat jam 4 petang ini, berbanding 5,860 orang daripada 2,067 keluarga yang direkodkan pada tengah hari tadi.
Tiga daerah merekodkan pertambahan ketara iaitu Tenom dengan 4,345 mangsa daripada 1,467 keluarga, diikuti Beaufort melibatkan 1,529 mangsa daripada 535 keluarga, serta Membakut dengan 441 mangsa daripada 173 keluarga.
Kesemua mangsa kini ditempatkan di 31 PPS yang mula beroperasi sejak Rabu lalu. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pelaku pijak al-Quran perlu dikenakan tindakan sewajarnya demi jaga keharmonian – Ahmad Zahid


