BAGAN DATUK – Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) terus melebarkan sayap dengan pembukaan Mydin Mart Bagan Datuk yang merupakan cawangan ke-75 syarikat itu di seluruh negara.
Pengarah Urusannya, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, pembukaan pasar raya melibatkan kos pelaburan RM1 juta itu mencerminkan komitmen berterusan Mydin dalam memperluaskan rangkaian perniagaan ke kawasan luar bandar.
Menurutnya, ini selaras dengan aspirasi kerajaan bagi memastikan kesejahteraan rakyat serta memperkukuh ekonomi komuniti tempatan.
Tambahnya, Mydin Mart Bagan Datuk berada di bawah pengurusan Tri Shaas Sdn Bhd itu adalah sebahagian daripada perancangan strategik syarikat untuk memastikan pengguna mendapat akses kepada barangan berkualiti pada harga mampu milik.
“Mydin sentiasa komited untuk memastikan masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar, dapat menikmati kemudahan membeli-belah yang lengkap dengan harga borong.
“Pada masa sama, pembukaan cawangan ini turut membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat serta memberi ruang kepada usahawan dan pembekal tempatan untuk berkembang bersama kami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian cawangan baharu itu di Hutan Melintang yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat.
Dalam pada itu, Ameer Ali berkata, Bagan Datuk adalah lokasi yang pesat membangun dengan potensi besar dan pihaknya merancang lebih banyak pembukaan Mydin Mart dalam masa terdekat.
Premis berkeluasan 7,000 kaki persegi ini menawarkan sebanyak 6,000 unit stok simpanan (SKU), merangkumi pelbagai pilihan barangan keperluan harian termasuk produk segar, barangan runcit, pakaian, perkakasan rumah serta produk tempatan.
Selaras dengan komitmen tanggungjawab sosial korporat Mydin turut menyumbang Kotak Sara Rahmah kepada 50 penerima melalui inisiatif Mydin Prihatin bagi meringankan kos perbelanjaan ketika menjalani ibadah bulan puasa.
Sempena pembukaan rasmi ini, pelbagai promosi Istimewa dan penjimatan menarik ditawarkan kepada pelanggan sebagai tanda penghargaan atas sokongan berterusan masyarakat.
Pelbagai tawaran hebat menanti pelanggan termasuk ayam seekor RM1 (terhad 100 ekor sehari), mi kuning 10 sen setiap hari dan ubi kentang 99 sen sekilogram (terhad 2kg setiap pelanggan), selain diskaun menarik untuk barangan runcit dan keperluan harian terpilih.

Promosi diteruskan pada 6 hingga 8 Mac dengan tawaran Istimewa seperti rusuk ayam RM5.99 sekilogram (terhad 2kg setiap pelanggan), ikan Sardin RM7.99 sekilogram (terhad 2kg setiap pelanggan), Epal Fuji 90 sen sebiji (terhad 5 biji setiap pelanggan), beras 5kg RM28.99 dan pelbagai lagi.
Sementara itu, Ahmad Zahid merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan Mydin kerana memilih daerah tersebut untuk pembukaan cawangan yang disifatkan sebagai lokasi strategik di laluan antara Teluk Intan, Bagan Datuk dan Sabak Bernam.
Katanya, pembukaan cawangan baharu itu tidak akan menjejaskan peniaga kedai runcit di daerah terbabit sebaliknya mereka boleh mendapatkan bekalan dengan harga borong di pasar raya berkenaan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
RM180,000 disalurkan bantu pendidikan komuniti India Parlimen Bagan Datuk


