Siasatan isu Azam Baki ikut proses, jangan buat tohmahan – Anwar

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan isu melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berhubung dakwaan pemilikan saham serta tuduhan berkaitan ‘mafia korporat’ tidak pernah ditutup, sebaliknya sedang melalui proses siasatan yang ditetapkan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang mempersoalkan pendirian kerajaan dan tahap ketelusan siasatan berhubung isu tersebut.

Wan Ahmad Fayhsal membangkitkan isu desakan supaya Azam bercuti sebelum ini serta mempertikaikan sama ada kerajaan kini bersikap berbeza dalam menangani perkara berkenaan.

Menjawab perkara itu, Anwar menegaskan pendiriannya kekal konsisten bahawa setiap dakwaan mesti disiasat, namun tidak wajar dibuat tohmahan tanpa fakta.

“Saya akan jawab soalan, tetapi jangan buat tohmahan atau buruk sangka. Biar siasatan dapatkan fakta,” katanya ketika Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau, sama ada isu pemilikan saham mahupun dakwaan lain yang dirujuk termasuk laporan antarabangsa, semuanya tertakluk kepada proses yang sama.

“Dulu pun saya minta siasat, sekarang pun sama. Kedua-duanya tidak ditutup. Kita teliti dan siasat,” ujarnya.

Anwar menjelaskan dalam kes membabitkan penjawat awam, proses siasatan perlu bermula mengikut prosedur ditetapkan, termasuk laporan rasmi sebelum tindakan lanjut diambil.

Katanya, dalam kes berkenaan, skop siasatan turut diperluaskan dan dikendalikan di peringkat Peguam Negara bagi memastikan penelitian lebih menyeluruh.

“Kita ikut proses. Pertama di peringkat Peguam Negara, tetapi boleh dilanjutkan sekiranya didapati siasatan itu tidak memadai atau tidak meliputi skop bantahan yang dibangkitkan,” jelasnya.

Selepas beliau selesai menjawab, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Rosol Wahid, bangkit untuk mengemukakan soalan tambahan.

Bagaimanapun, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor, tidak membenarkan soalan tersebut dan mengarahkan supaya sesi diteruskan mengikut aturan mesyuarat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI