Kid’s Zone@Masjid Negeri Perak permudah ibu bapa solat tarawih

IPOH – Masjid Sultan Idris Shah II atau lebih dikenali sebagai Masjid Negeri Perak mengambil inisiatif menyediakan kemudahan Kid’s Zone bagi membantu ibu bapa menunaikan solat dengan lebih tenang sepanjang bulan Ramadan.

Imam Besar Masjid Negeri Perak, Abd Farid Salleh berkata, kemudahan tersebut diwujudkan kira-kira tujuh tahun lalu, khusus untuk menempatkan kanak-kanak berusia antara tiga hingga tujuh tahun ketika ibu bapa menunaikan solat tarawih.

Menurutnya, idea ini tercetus apabila pihak masjid melihat ibu bapa membawa anak-anak kecil dan memikirkan kaedah terbaik untuk menguruskan kanak-kanak ketika ibu bapa menunaikan solat.

“Bila kita tengok keadaan yang bising, anak-anak main, kita hendak halang pun kanak-kanak, sedangkan kita nak dekatkan anak-anak ini dengan masjid.

Kid’s Zone@Masjid Negeri Perak permudah ibu bapa solat tarawih ramadan
Masjid Sultan Idris Shah II atau lebih dikenali sebagai Masjid Negeri Perak mengambil inisiatif menyediakan kemudahan Kid’s Zone bagi membantu ibu bapa menunaikan solat dengan lebih tenang sepanjang bulan Ramadan. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 05 MAC 2026.

“Jadi kita mencari aedah yang terbaik untuk kita uruskan anak-anak ini, ketika itulah datang idea untuk kita wujudkan Kid’s Zone ini.

“Kebetulan di masjid ini kita ada dewan dan anjung, kita gunakannya sebagai tempat Kid’s Zone,” katanya ketika ditemui di masjid berkenaan pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau berkata, kemudahan tersebut bukan sahaja membantu ibu bapa menunaikan solat dengan lebih khusyuk, malah menjadi usaha memupuk minat kanak-kanak terhadap masjid.

Kid’s Zone@Masjid Negeri Perak permudah ibu bapa solat tarawih ramadan
Imam Besar Masjid Negeri Perak, Abd Farid Salleh berkata, Kid’s Zone diwujudkan kira-kira tujuh tahun lalu, khusus untuk menempatkan kanak-kanak berusia antara tiga hingga tujuh tahun ketika ibu bapa menunaikan solat tarawih. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 05 MAC 2026.

“Antara tujuannya mestilah untuk memberi kemudahan kepada mak ayah supaya solat dengan tenang, lebih khusyuk, dan yang keduanya kita dapat memupuk anak-anak cintakan masjid dan mendidik bagaimana generasi anak-anak lagi sudah berminat dengan masjid.

“InshaAllah merekalah yang akan mengimarahkan masjid dengan pelbagai program dan aktiviti di masjid nanti. Kita tidak mahu masjid ini hanya untuk golongan yang berumur saja, tetapi golongan muda, remaja dan anak-anak juga perlu datang ke masjid,” ujarnya.

Abd Farid berkata, respon ibu bapa terhadap kemudahan itu sangat menggalakkan, malah ramai turut menyumbangkan permainan serta buku untuk kegunaan kanak-kanak.

“Alhamdulillah, respon daripada ibu bapa sangatlah menggalakkan. Mereka bukan setakat menyokong tetapi turut memberi peralatan dan barang mainan. Banyak kita terima buku dan mainan.

Kid’s Zone@Masjid Negeri Perak permudah ibu bapa solat tarawih ramadan
Kid’s Zone diwujudkan kira-kira tujuh tahun lalu, khusus untuk menempatkan kanak-kanak berusia antara tiga hingga tujuh tahun ketika ibu bapa menunaikan solat tarawih. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 05 MAC 2026.

“Contohnya macam papan sensori ini adalah sumbangan daripada bahagian arkitek Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak untuk kegunaan kanak-kanak tersebut termasuk anak-anak berkeperluan khas,” katanya.

Katanya, masjid tersebut melaksanakan tarawih 20 rakaat, jadi kita sediakan Kid’s Zone ini dengan pendaftaran bermula pada jam 8 malam untuk tujuan keselamatan sehingga tamat pada jam 10.30 malam.

“Purata kehadiran kanak-kanak ke Kid’s Zone adalah antara 30 hingga 50 orang setiap malam dengan kapasiti maksimum ruang sehingga 70 orang pada satu masa.

Kid’s Zone@Masjid Negeri Perak permudah ibu bapa solat tarawih ramadan
Kid’s Zone diwujudkan kira-kira tujuh tahun lalu, khusus untuk menempatkan kanak-kanak berusia antara tiga hingga tujuh tahun ketika ibu bapa menunaikan solat tarawih. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 05 MAC 2026.

Dewan kuliah masjid digunakan sebagai lokasi khas untuk aktiviti Kid’s Zone sepanjang Ramadan dengan pengawasan staf dan sukarelawan.

“Staf kita biasanya bergilir dalam tiga orang. Kadang-kadang ada juga ibu bapa yang tidak solat pada waktu itu secara sukarela membantu menjaga anak-anak di sini.

“Setakat ini alhamdulillah, ibu bapa yakin dengan suasana bilik ini serta adanya penjaga dan sukarelawan, jadi mereka rasa lebih selamat,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

1,000 jemaah tunai solat tarawih di Masjid Sultan Idris Shah II

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI