Ramai pengusaha Menu Rahmah di Perak tidak mendaftar

IPOH – Masih ramai pengusaha makanan di Perak yang menawarkan Menu Rahmah didapati tidak mendaftarkan diri dalam laman sesawang Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Exco Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina Perak, Woo Kah Leong berkata, berdasarkan statistik KPDN terdapat seramai 186 pengusaha makanan di negeri ini telah menyertai program Menu Rahmah sejak ia diperkenalkan pada Januari 2023.

Beliau berkata, bagaimanapun statistik rasmi berkenaan dipercayai tidak memaparkan keadaan sebenar mengenai jumlah pengusaha makanan yang menawarkan Menu Rahmah di negeri ini.

“Saya percaya sebenarnya akan ada lebih banyak lagi pengusaha makanan di Perak yang telah menyertai program
tersebut sejak bulan Januari tapi tidak mendaftar lagi.

“Oleh itu, saya di sini menyeru pengusaha restoran di Perak yang menyertai Menu Rahmah untuk mendaftarkan diri di laman sesawang KPDN agar pihak kementerian ada statistik yang lebih terkini dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Pengulungan Enakmen Perbekalan Tahun 2024 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2024 bersempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Rabu.

Sementara itu, mengulas mengenai Kad Diskaun Khas Menu Rahmah d Perak, Kah Leong berkata, KPDN Perak telah menerima lima permohonan daripada pengusaha makanan di negeri ini setakat November 2023.

Jelas beliau, inisiatif berkenana merupakan antara langkah bagi menggalakkan lebih banyak pengusaha restoran untuk menyertai program Menu Rahmah demi membolehkan rakyat ada lebih banyak pilihan Menu Rahmah dalam pada itu.

“Sewaktu lawatan kerja saya bersama dengan KPDN, saya pernah ditanya apa inisiatif yang akan ditawarkan oleh kerajaan untuk membantu lebih banyak lagi pengusaha restoran untuk menyertai program murni sedemikian.

“Ingin saya maklumkan di sini bahawa usaha yang telah diambil oleh kerajaan perpaduan untuk memperhebat inisiatif Menu RAHMAH adalah dengan memperkenalkan Kad Diskaun Khas Menu Rahmah kepada peniaga dengan kerjasama beberapa pasaraya terpilih mengikut terma dan syarat.

“Untuk makluman semua, Kad Diskaun Khas ini merupakan inisiatif bersama enam pasar raya iaitu AEONBIG, MYDIN, NSK, GIANT, LOTUS’S dan ECONSAVE yang merupakan rakan strategik KPDN yang menawarkan diskaun bagi pembelian barangan keperluan perniagaan,” katanya.

Tambah beliau, inisiatif ini juga bertujuan untuk mengurangkan beban kos yang ditanggung oleh pengusaha restoran dalam menyediakan makanan bermasak lantaran peniaga-peniaga boleh membeli bahan mentah dengan potongan harga yang ditawarkan di enam pasar raya. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

420,000 rakyat Perak terima manfaat Program Jualan Rahmah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI