IPOH – Kerajaan Negeri Perak menyalurkan peruntukan RM100,000 kepada Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) bagi menganjurkan acara padanan perniagaan pelancongan (B2B) MATTA Connect yang akan diadakan di sini pada Ogos depan.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, acara itu akan menghimpunkan seramai 500 peserta daripada 400 syarikat melibatkan 40 negara bagi meneroka peluang perniagaan baharu serta membina jaringan kerjasama jangka panjang dalam sektor pelancongan.
Menurutnya, antara negara yang dijangka mengambil bahagian adalah negara dari Asia Tenggara, United Kingdom, Jerman, Belgium dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
“Menerusi penganjuran acara tersebut di Ipoh atau di negeri Perak, peserta berpeluang melihat sendiri keindahan serta produk-produk pelancongan yang terdapat di negeri ini.
“Sebagai contoh, kebiasaannya acara-acara seperti ini diadakan di pusat negara, iaitu di Kuala Lumpur. Oleh itu, apa yang mereka peroleh hanyalah maklumat melalui brosur atau video daripada penjual.
“Bagaimanapun, apabila mereka berada sendiri di Ipoh dan Perak, mereka dapat merasai keunikan destinasi ini secara langsung, termasuk keistimewaan makanan tempatan dan pelbagai tarikan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan MATTA Fair Perak 2026 di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Pengerusi MATTA Perak, Wendy Shin dan Pengerusi Tourism Perak, Datuk Mohamad Kamil Shafie.
MATTA Connect turut melengkapi pelbagai inisiatif MATTA yang memberi tumpuan kepada sokongan terhadap ejen pelancongan dalam menghadapi perubahan industri yang pesat melalui inovasi, kelestarian dan perkongsian ilmu.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Loh memaklumkan MATTA Cawangan Perak menyasarkan jualan kira-kira RM22 juta menerusi penganjuran MATTA Fair Perak ke-36 yang akan berlangsung pada hari dan esok.
Katanya, pameran pelancongan itu dijangka menarik lebih 25,000 pengunjung dengan penyertaan lebih 130 reruai pameran melibatkan lebih 30 pemain industri pelancongan tempatan dan antarabangsa. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Matta Fair Perak sedia pakej pelancongan dipercayai, elak ditipu ejen


