IPOH – Sebanyak 30,000 bekas biskut raya ‘Rahmah’ keluaran usahawan tempatan, Khairruni Ahmad Zabidi, 63, habis terjual dalam tempoh tujuh hari walaupun kos bahan pembuatannya semakin meningkat.
Pengusaha Kuih Raya Opah Chik dan Opah Su itu berkata, dia tetap mengekalkan harga Rahmah RM6 sebekas sejak tiga tahun lalu sebagai memenuhi janji kepada pelanggan setianya.
Menurutnya, walaupun berdepan peningkatan kos bahan mentah, komitmen untuk menawarkan harga mampu milik tetap diteruskan.

“Makcik kekalkan (harga) sebab itu janji makcik kepada pembeli yang setia. Walaupun orang kata kos barang buat biskut itu mahal, tapi makcik berjanji tetap gunakan harga Rahmah.
“Pada tahun ini, kami mengeluarkan 200 jenis biskut raya bagi memenuhi permintaan pelanggan. Antara biskut yang dianggap premium termasuk tat beri biru, tat strawberi, tat nanas dan tat keju, namun ia masih dijual pada harga berpatutan.
“Walaupun kos tinggi, tetap makcik bagi (harga Rahmah) supaya semua dapat merasa,” katanya ketika ditemui di gerainya di lot parkir sebuah stesen minyak di Jalan Raja Ashman, di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, Khairruni turut mengeluarkan biskut raya premium dengan harga jualan antara RM30 hingga RM35 sebekas serta menawarkan harga RM100 bagi lapan balang biskut.

Katanya, biskut raya ‘viral’ juga turut dijual di sini seperti biskut Kinder Bueno, pistachio, matcha dan Biscoff.
Mengulas berhubung sambutan pelanggan, dia amat bersyukur kerana perniagaannya terus mendapat sokongan walaupun terpaksa berhadapan dengan keadaan ekonomi yang mencabar.
Tambahnya, seramai 20 orang pekerja separuh dan sepenuh masa bertungkus lumus menyiapkan biskut raya bagi memastikan dapat memenuhi permintaan pelanggan.

“Alhamdulillah, sejak gerai ini dibuka bermula 10 Ramadan lalu, sambutan pelanggan sangat memberangsangkan. Makcik bersyukur sangat.
“Ramai pelanggan yang membeli, ada yang sudah beli tetapi datang balik dan dua tiga kali ulang. Apabila makcik tanya kenapa beli lagi, mereka memuji biskut raya yang dijual sedap makcik dan sudah habis sebelum raya.
“Malah katanya, ada pelanggan yang datang membeli sehingga empat kali kerana menggemari rasa biskut yang dihasilkan, jadi makcik rasa bangga dengan pencapaian itu,“ ujarnya.
Katanya, pelanggan yang datang bukan sahaja datang dari sekitar Perak tetapi ada juga dari luar negeri termasuk Klang, Seremban, Kuala Lumpur dan Johor.

Gerai biskut raya harga Rahmah ini tular sejak 2024 kerana berani menawarkan harga murah dan mampu milik supaya dapat dinikmati semua.
Orang ramai yang ingin mendapatkan biskut raya Rahmah, boleh singgah ke gerai tersebut yang dibuka bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari sehingga malam raya di lot parkir sebuah stesen minyak di Jalan Raja Ashman, di sini. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


