SAR anggota bomba sukarela dikhuatiri lemas diteruskan

IPOH – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang anggota pasukan bomba sukarela (PBS) yang hilang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam tasik di Bandar Baru Lahat Mines diteruskan pada Isnin.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Datuk Sayani Saidon berkata, operasi yang bermula sekitar jam 8 pagi itu akan membabitkan kawasan pencarian 100 hingga 150 meter dari tebing tasik.

Katanya, SAR berkenaan melibatkan penggunaan dron JBPM serta peralatan pengesan sonar yang dikendalikan oleh pihak PBS bagi membantu mengesan kedudukan mangsa.

“Pasukan Unit Pengesan (K9) JBPM diatur gerak bagi membantu operasi, manakala Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) akan menjalankan pencarian yang diperluaskan.

“Ia akan melibatkan kawasan yang dianggarkan 100 hingga 150 meter dari tebing tasik.

“Hasil tinjauan awal mendapati kedalaman air di kawasan mangsa dipercayai tenggelam dianggarkan sekitar 15 meter,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu media melaporkan seorang anggota PBS Menglembu yang dikenali sebagai Master Ka-Jun Cheng Siew, berusia 25 tahun hilang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam tasik ketika menjalankan aktiviti latihan dan pengujian bot.

Hasil maklumat awal Sayani berkata, latihan yang dijalankan sekitar jam 4 petang itu melibatkan seramai 16 anggota PBS daripada Menglembu, Pekan Baru serta Pasir Pinji dengan menggunakan tiga buah bot.

Beliau berkata, pada peringkat awal latihan, mangsa dimaklumkan telah memakai jaket keselamatan jenis Personal Flotation Device (PFD).

Bagaimanapun kata beliau, ketika latihan hampir selesai sekitar jam 7.10 malam, mangsa didapati menaiki semula sebuah bot bersama seorang pemandu tanpa memakai peralatan keselamatan tersebut.

“Ketika kejadian, mangsa berada di dalam bot bersama seorang pemandu sebelum kedua-duanya dipercayai terjatuh ke dalam tasik ketika pemandu bot berkenaan membuat pusingan U di tengah tasik.

“Pemandu bot berkenaan cuba menyelamatkan mangsa namun turut terjatuh ke dalam air sebelum berjaya diselamatkan oleh rakan-rakan anggota PBS yang lain,” katanya lagi.

Menurut Sayani, SAR membabitkan seramai 14 anggota JBPM dan 16 anggota PBS selain bantuan daripada agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Kementerian Kesihatan (KKM). – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Anggota bomba sukarela hilang dikhuatiri lemas terjatuh dari bot di Lahat

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI