Polis tumpaskan aktiviti penyeludupan migran, 22 warga Indonesia ditahan

BAGAN DATUK – Polis berjaya menumpaskan aktiviti penyeludupan migran dengan menahan 22 individu termasuk tekong dipercayai warga Indonesia selepas bot yang dinaiki mereka dikesan di perairan negeri, pada Ahad.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, tangkapan susulan maklumat yang diterima daripada orang awam berkenaan sebuah bot dalam dalam keadaan mencurigakan yang disyaki membawa warga asing pada jam 10.50 pagi.

Katanya, susulan daripada itu sepasukan anggota Polis Marin Kampung Acheh berjaya menjejaki bot yang dipercayai membawa sekumpulan pendatang tanpa izin (PATI) pada kedudukan 10 batu nautika dari pesisir pantai Bagan Sungai Tiang, Rungkup, di sini.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 22 individu dipercayai warga Indonesia berada di atas bot berkenaan termasuk seorang tekong lelaki berusia 36 tahun dan dua pembantu masing-masing berusia 33 dan 34 tahun.

“Turut ditemukan ialah 10 lelaki dewasa, lapan wanita dewasa serta seorang kanak-kanak perempuan dipercayai warga Indonesia, yang berusia antara lima hingga 62 tahun,” katanya di sini, pada Isnin.

Noor Hisam berkata, hasil siasatan awal mendapati bot kayu tidak bernombor itu dipercayai sedang dalam perjalanan membawa kesemua migran tersebut pulang ke Tanjung Balai di Indonesia.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut turut menemukan dan berjaya merampas beberapa peralatan di dalam bot termasuk peralatan memasak, alat navigasi dan telefon bimbit.

“Pihak polis turut merampas bot kayu tidak bernombor tersebut bersama beberapa barangan lain sebagai barang kes untuk siasatan lanjut.

“Kesemua tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Kampung Acheh untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Tambah beliau, sementara tekong dan dua pembantu tekong berkenaan direman selama 28 hari di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 bermula 9 Mac.

“Manakala kesemua 19 migran pula direman selama 14 hari di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 bermula 9 Mac bagi membantu siasatan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Noor Hisam berkata, kejayaan operasi tersebut adalah hasil kerjasama berterusan antara masyarakat dan agensi penguat kuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan pencegahan dan pembanterasan dipertingkatkan. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

30 PATI didakwa atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI