IPOH – Penjawat awam antara lapan individu dicekup selepas disyaki tidak menghormati bulan Ramadan kerana tidak berpuasa dan terlibat dengan aktiviti perjudian di sebuah pusat snuker di Jalan Raja Ekram, Taman Jubilee, di sini, pada Selasa.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Asyraf Ismail berkata, tangkapan dan serbuan itu hasil intipan yang dijalankan pihaknya selama kira-kira seminggu.
Katanya, hasil operasi mendapati kesemua mereka yang berusia antara 36 hingga 59 tahun itu disyaki telah makan, minum serta merokok dalam premis tersebut.

“Ketika pemeriksaan dan soal siasat, antara alasan yang diberikan mereka adalah tidak berpuasa kerana tidak sihat, dan ada yang mendakwa hanya untuk singgah ke tandas.
“Namun hasil pemeriksaan lanjut, kita mendapati premis ini memang dijadikan tempat untuk orang tidak berpuasa.
“Malah ketika intipan dan siasatan ramai mereka di sini makan, minum dan merokok pada waktu siang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Ops Ponteng Puasa yang turut melibatkan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), di Jalan Raja Ekram, Taman Jubilee, di sini, pada Selasa.

Menurut Asyraf, pekerja di premis mendakwa makanan berupa mi goreng yang dibungkus dalam bekas polistirena dibekalkan daripada kedai berhampiran.
Namun kata beliau, perkara itu masih disiasat termasuk dakwaan ia diberikan secara percuma kepada pengunjung di pusat snuker tersebut.
Mengulas lanjut beliau berkata, daripada lapan individu yang ditahan, lima daripadanya disiasat mengikut Seksyen 24 Enakmen Jenayah (Syariah) Perak 1992 kerana tidak menghormati Ramadan.

Selain itu kata beliau, seorang individu disiasat mengikut Seksyen 26 enakmen sama kerana disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian, manakala dua lagi disiasat di bawah Seksyen 61 kerana bersubahat dalam kesalahan berkaitan perjudian dan tidak menghormati Ramadan.
“Kesemua individu yang ditahan akan dibawa ke pejabat JAIPk untuk siasatan lanjut sebelum kita mengeluarkan bon kepada mereka,” katanya lagi.

Pada masa sama beliau berkata, anggota penguat kuasa JAIPk melaksanakan operasi pemantauan hampir setiap hari bagi membanteras kesalahan khususnya yang berkaitan tidak menghormati bulan Ramadan.
“Tahun ini kita memang fokus menjalankan operasi dengan lebih kerap yang boleh dikatakan pada setiap hari.
“Fokus kita adalah kepada tiga kesalahan utama iaitu tidak menghormati Ramadan (tidak berpuasa pada waktu siang), perjudian serta pungutan khairat tanpa kebenaran,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


