IPOH – Situasi di Perak masih terkawal, walaupun terdapat pihak tidak bertanggungjawab memainkan isu sensitif membabitkan sentimen kaum, termasuk isu rumah ibadat bukan Islam yang tidak berdaftar.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, isu yang timbul lebih menjurus kepada perselisihan faham peribadi, bukannya melibatkan ketegangan antara kaum atau agama.
Menurutnya, pihak polis telah mengambil langkah sewajarnya untuk meneutralkan keadaan bagi memastikan keamanan dan keharmonian masyarakat di Perak terus terpelihara.
“Setakat ini situasi di Perak tidak serius dan kita masih boleh kawal. Ia lebih kepada perselisihan faham peribadi dan bukan melibatkan kaum. Secara peribadi dan kita pun telah neutralisasikan situasi ini dan alhamdulillah Perak kira terkawal,“ katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Ketua Polis Daerah (KPD) serta Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Daerah bagi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dan Hilir Perak di Mes Pegawai Kanan Polis Perak di sini pada Jumaat.
Dalam perkembangan sama, Noor Hisam memaklumkan pihaknya sedang mengumpul maklumat berkaitan rumah ibadat yang berdaftar dan tidak berdaftar di negeri ini sebelum langkah seterusnya diputuskan bersama pihak berkuasa negeri.
“Sekarang kita sedang mengumpul maklumat semua rumah-rumah ibadat yang berdaftar dan tidak berdaftar. Kemudian, kita akan berbincang dengan pihak berkuasa negeri untuk langkah seterusnya,“ ujarnya.
Katanya, isu tersebut perlu ditangani secara berhemah supaya tidak menimbulkan kegusaran ataupun memecah keamanan.
Beliau turut menegaskan, polis akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa negeri bagi memastikan situasi kekal terkawal serta tidak menjejaskan keharmonian masyarakat. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


