IPOH – Kerajaan Perak akan menunggu keputusan hasil kajian di peringkat Persekutuan berhubung cadangan pelaksanaan kaedah bekerja dari rumah (WFH) bagi penjawat awam negeri susulan kesan akibat konflik di Asia Barat.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ini kerana sebarang langkah yang ingin diambil perlu mempunyai keselarasan antara negeri dan Persekutuan bagi memastikan kelancaran operasi penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Kita perlu tunggu dahulu (hasil) kajian yang sedang dibuat oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kerana ia harus ada keserasian (pelaksanaan penyampaian perkhidmatan) antara negeri dan Persekutuan.
“Ini kerana jika hanya di Persekutuan yang melaksanakannya tetapi tidak di negeri, ia akan menimbulkan kesukaran. Jadi kita tunggu dahulu apa cadangan yang akan dikemukakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan (HBP) Kerajaan Negeri Perak Tahun 2026 di Stadium Indera Mulia, di sini, pada Isnin.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Saarani terdahulu diminta mengulas berkenaan cadangan pelaksanaan WFH sebagai antara langkah penjimatan dalam perkhidmatan awam susulan perkembangan konflik di Asia Barat serta tekanan geopolitik yang memberi kesan kepada ekonomi global.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, cadangan terhadap kesesuaian pelaksanaan kerja dari rumah bagi sektor awam Persekutuan akan diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet pada Selasa.
Media juga melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz untuk meneliti cadangan berkenaan.
Mengulas lanjut Saarani berkata, beliau yakin sekiranya dilaksanakan, pendekatan WFH yang dicadangkan adalah berbeza dengan situasi di mana ketika dunia berdepan pandemik COVID-19 yang memerlukan langkah kawalan keselamatan kesihatan awam.
“‘Work from home’ ketika COVID-19 dahulu ialah melibatkan faktor keselamatan kesihatan yang mana kita mahu menghadkan pertemuan orang ramai.
“Tetapi yang ini (cadangan kai ini) bukan faktor keselamatan, sebaliknya ada faktor lain termasuk faktor ekonomi. Jadi kita perlu lihat kesesuaian dan keberkesanan pelaksanaannya,” katanya lagi.
Namun ujar beliau, ketika ini kerajaan negeri juga telah mengambil beberapa pendekatan berhati-hati dan berhemah dalam melaksanakan langkah penjimatan susulan perkembangan terkini di Asia Barat.
Kata beliau, kerajaan negeri mahu memastikan sebarang keputusan yang diambil tidak akan menjejaskan sebarang peluang ekonomi yang boleh memberi pulangan kepada negeri serta rakyat.
Beliau juga mengulangi bahawa cadangan membatalkan sebarang majlis rasmi kerajaan negeri secara mendadak hanya akan menjejaskan pendapatan peniaga kecil dan sektor katering yang bergantung kepada kontrak penyediaan makanan.
“Kita perlu berlaku adil kepada semua pihak. Jika kita hentikan semua perkara, pengusaha katering dan pembekal barang mentah akan kehilangan pendapatan.
“Sebab itu Pejabat Kewangan Negeri (PKN) telah menghantar surat kepada semua GLC (Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri) dan agensi supaya berjimat cermat dan mengadakan majlis secara ala kadar sahaja tanpa mengabaikan impak ekonomi kepada peniaga terlibat,” jelas beliau. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Krisis Asia Barat: Bangladesh import diesel dari Malaysia, Singapura, India


