IPOH – Bekalan ayam pedaging di Perak berada pada tahap mencukupi dengan pengeluaran semasa dianggarkan sekitar 10 hingga 12 juta ekor sebulan serta mampu menampung peningkatan permintaan menjelang musim perayaan Aidilfitri.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, hasil pemantauan berterusan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak bersama agensi berkaitan mendapati sektor pengeluaran ternakan negeri ini berada dalam keadaan baik dan stabil.
Menurutnya, selain ayam pedaging, bekalan telur ayam juga mencukupi dengan pengeluaran dianggarkan antara 140 hingga 160 juta biji sebulan, yang diagihkan secara berterusan ke pasaran bagi memastikan kestabilan bekalan kepada pengguna di seluruh negeri.
“Bagi bekalan daging lembu dan kerbau pula, bekalan adalah stabil melalui gabungan sumber pengeluaran tempatan serta bekalan import dengan anggaran sekitar 360 hingga 400 tan metrik sebulan bagi memenuhi keperluan pasaran di negeri Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan barangan keperluan perayaan Aidilfitri di Pasar Besar Ipoh dan Pasar Raya Besar Mydin Meru Raya di sini pada Selasa.
Mohd Zolkafly berkata, kerajaan negeri melalui JPV dan agensi berkaitan sentiasa melaksanakan pemantauan rapi terhadap keseluruhan rantaian bekalan ternakan, meliputi peringkat ladang, operasi rumah sembelih serta proses pengedaran produk ke pasaran.
“Langkah ini bertujuan memastikan bekalan makanan asas sentiasa mencukupi, berkualiti dan sampai kepada pengguna tanpa sebarang gangguan, termasuk bekalan sayur-sayuran serta keperluan lain masyarakat.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak melakukan pembelian secara panik atau berlebihan, memandangkan bekalan ayam, telur dan daging akan terus diagihkan secara konsisten sepanjang tempoh menjelang dan sepanjang musim perayaan Aidilfitri,” ujarnya.

Katanya, kerajaan negeri akan terus memperkukuhkan kerjasama strategik bersama pemain industri ternakan, pengusaha ladang dan agensi berkaitan bagi memastikan keterjaminan bekalan makanan sentiasa terpelihara serta memberi keyakinan kepada rakyat.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, harga barangan masih berada dalam paras harga kawalan, malah terdapat penawaran yang lebih rendah daripada harga yang ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Ini menunjukkan keadaan harga yang stabil dan tidak membebankan rakyat di negeri ini,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Bekalan barangan mencukupi, jangan buat pembelian panik – Armizan


