GERIK – Niat baik seorang lelaki yang sedang membantu rakannya mengisi minyak kereta berakhir tragedi apabila maut dalam kejadian langgar lari di Kilometer 2.6 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik–Jeli di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Samad Othman berkata, kejadian itu berlaku sekitar jam 5.15 petang.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati ketika kejadian sebuah kereta jenis Proton Saga yang dipandu seorang lelaki berusia 21 tahun telah kehabisan minyak dan dia menghubungi rakannya untuk mendapatkan bantuan.
“Mangsa kemudiannya datang ke lokasi dengan menunggang motosikal bagi menghantar minyak dan ketika mereka sedang mengisi minyak di bahagian kanan kenderaan tersebut, tiba-tiba sebuah kereta tidak dikenali berwarna putih dari arah Jeli ke Gerik melanggar mereka.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa yang berusia 21 tahun itu mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Gerik untuk rawatan lanjut.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada kira-kira pukul 10.50 malam ketika sedang menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, pemandu Proton Saga tersebut bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Sehubungan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik di talian 05-7912222 bagi membantu siasatan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


