Persiapan awal, perbelanjaan berhemah jadi pendekatan sambut Aidilfitri

IPOH – Persiapan awal serta perbelanjaan secara berhemah menjadi antara pendekatan yang diamalkan orang ramai di bandar raya ini bagi menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri.

Mereka yang ditemui mendapati, meskipun berdepan dengan situasi ekonomi yang mencabar, semangat menyambut Hari Lebaran tetap dirasai apabila mereka memilih untuk membuat persiapan secara sederhana namun meriah.

persiapan Aidilfitri berhemah Ipoh perbelanjaan raya berjimat, kos sara hidup Aidilfitri, persiapan raya sederhana, harga barang raya naik, persiapan awal Hari Raya
Kakitangan swasta, Mohamad Zulshafizal Haikal, 33, ketika temubual bersama MalaysiaGazette (MG) Perak di pekarangan Taman Meru 2C, Ipoh, pada Jumaat. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 20 MAC 2026.

Kakitangan swasta, Mohamad Zulshafizal Haikal, 33, berkata, pengalaman berumah tangga selama tujuh tahun membantunya merancang persiapan lebih awal termasuk pembelian pakaian dan penyusunan perjalanan pulang ke kampung.

Menurutnya, ia juga turut mengajarnya untuk lebih bijak merancang, termasuk memanfaatkan platform dalam talian bagi urusan pembelian pakaian hari raya buat dia dan keluarga.

“Persiapan hari raya tahun ini lebih awal dibuat iaitu pada minggu pertama Ramadan. Baju raya semua sudah beli awal, rumah pun sudah siap kemas dan perancangan balik kampung juga telah dibuat.

“Akan tetapi persediaan itu masih dalam kawalan, tidaklah terlalu berlebihan,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak, di sini, pada Jumaat.

Orang ramai mengunjungi Fiesta Raya Ipoh 2026 Riverfront @ Old Town di Kinta Riverwalk, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF 18 MARCH 2026.

Jelasnya lagi, keadaan ekonomi yang lebih stabil bagi keluarganya juga pada tahun ini turut membolehkan mereka berbelanja sedikit lebih berbanding tahun lalu untuk menambah kemeriahan sambutan Aidilfitri.

“Bagi saya, ekonomi tahun ini terasa sedikit stabil buat kami sekeluarga. Jadi kami memilih untuk membeli kuih-muih lebih awal dalam kuantiti yang agak banyak demi merasai ‘vibe’ raya yang meriah,” katanya.

Dalam pada itu, pelakon Syamsul Anuar Zaini, 48, mengakui terdapat sedikit peningkatan dalam perbelanjaan tahun ini berikutan kenaikan harga barangan keperluan hari raya terutamanya melibatkan pakaian.

Pelakon, Syamsul Anuar Zaini, 48, ketika temubual bersama MalaysiaGazette (MG) Perak di pekarangan Taman Meru 2C, Ipoh, pada Jumaat. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 20 MAC 2026.

Jelas beliau, walaupun terpaksa berbelanja lebih sedikit berbanding tahun lalu, namun prinsip kesederhanaan tetap menjadi keutamaan agar tidak berlaku pembaziran yang tidak sepatutnya.

“Tahun ini ada penambahan bajet sedikit kerana harga pakaian seperti baju Melayu, baju kurung dan samping agak mahal berbanding tahun-tahun sebelum ini di pasaran.

“Namun, saya tetap mengamalkan konsep sederhana sahaja pada setiap tahun, dan tidak perlu berlebih-lebihan.

“Apa yang penting, segala keperluan asas seperti pakaian sudah selesai dan sekarang hanya tinggal untuk membeli juadah sampingan seperti lemang,” ujarnya lagi.

persiapan Aidilfitri berhemah Ipoh perbelanjaan raya berjimat, kos sara hidup Aidilfitri, persiapan raya sederhana, harga barang raya naik, persiapan awal Hari Raya
Penjawat awam, Mohamad Fidrus Ahmad Tarmidi, 38, ketika temubual bersama MalaysiaGazette (MG) Perak di pekarangan Taman Meru 2C, Ipoh, pada Jumaat. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 20 MAC 2026.

Dalam pada itu, penjawat awam, Mohamad Fidrus Ahmad Tarmidi, 38, memberitahu, pendekatan berjimat cermat menjadi keutamaan keluarganya dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup ketika ini.

Katanya, bagi penyediaan juadah hari raya pula, dia dan keluarga lebih banyak membeli kuih raya daripada kenalan dan rakan sekerja kerana kekangan masa untuk menyediakan sendiri.

“Walaupun harga kuih raya sekarang agak tinggi, ia tetap perlu ada sebagai ‘trademark’ setiap kali pada hari raya, terutamanya untuk gembirakan anak-anak.

“Anggaran perbelanjaan untuk juadah hari raya sahaja boleh mencecah ratusan ringgit kerana kesan kenaikan harga barang yang amat dirasai sekarang,” jelasnya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Umat Islam di Malaysia sambut Aidilfitri pada Sabtu

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI