IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Perak 2026 di Stadium Indera Mulia di sini, pada Sabtu.
Keberangkatan tiba baginda kira-kira pada jam 3.10 petang disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; isteri, Datin Seri Aezer Zubin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; serta barisan exco kerajaan negeri.

Turut berangkat ke majlis, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah serta dan Raja Puan Muda Besar Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.
Majlis diserikan dengan pelbagai persembahan nyanyian dan tarian kebudayaan yang menggambarkan kemajmukkan masyarakat di Perak.

Pada majlis itu juga Sultan Nazrin dan Tuanku Zara turut berkenan menyampaikan sumbangan duit raya kepada 69 orang penerima terdiri daripada penghuni rumah-rumah kebajikan di negeri ini.
Penerima sumbangan terdiri daripada, Persatuan Anak-anak Yatim Soleha Tanjung Tualang; The Salvation Army Ipoh Childrens Home Care Centre; The Salvation Army Ipoh Boy’s Home Care Centre; serta Rumah Kanak-kanak Sultan Abdul Aziz Kuala Kangsar.

Sebelum meninggalkan majlis, baginda berdua turut berkenan berangkat meninjau gerai dan menyantuni orang ramai yang hadir ke majlis rumah terbuka di perkarangan Stadium Indera Mulia.

Kira-kira 20,000 orang ramai terdiri daripada berbilang kaum memeriahkan sambutan dan menikmati pelbagai juadah yang disediakan sepanjang majlis berlangsung.
Antara juadah adalah, sate, apam balik, nasi himpit, kuetiau, ketupat, lemang, rendang, laksa, dan minuman. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


