Tempahan studio fotografi laris tiap Aidilfitri

IPOH – Trend bergambar di dalam studio di sekitar bandar raya ini pada saban tahun semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, khususnya menjelang dan ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Tinjauan mendapati, kebanyakan orang ramai lebih memilih untuk merakam momen bersama ahli keluarga dalam suasana teratur, di samping pengusaha studio semakin tidak menang tangan dalam memerah idea kreatif dan menghasilkan potret pelanggan yang berkualiti.

tempahan studio fotografi Aidilfitri laris Ipoh trend bergambar studio Hari Raya fotografi keluarga Aidilfitri Malaysia studio fotografi Ipoh Meru Raya tempahan fotografi meningkat Ramadan pakej fotografi raya harga studio
Pengusaha studio fotografi merangkap jurugambar, Abdul Rahman Ali, 34.

Seorang pengusaha studio merangkap jurugambar, Abdul Rahman Ali, 34, berkata, tempahan bagi sesi fotografi Aidilfitri biasanya mula meningkat seawal minggu kedua bulan Ramadan.

“Pada awal minggu kedua dalam bulan Ramadan, slot untuk sesi fotografi sudah mulai penuh. Dan untuk Hari Raya Aidilfitri pertama, tempahan saya juga penuh sampai ke hari ketiga Syawal.

“Setakat petang hari raya pertama, hampir 30 pelanggan telah hadir dan keseluruhan slot untuk Syawal yang pertama sudah mencecah hampir 50 sesi dari pagi hingga malam,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak.

Dia yang sudah 11 tahun dalam bidang fotografi berkata, sambutan yang diterima dalam tempoh dua tahun pembukaan studio itu di Meru Raya, di sini itu bukan sahaja memberangsangkan, malah mampu memberikan pulangan yang berbaloi.

“Studio kami menawarkan tiga pakej harga yang bergantung kepada jumlah orang iaitu bermula pada harga RM100 sehingga ke RM280.

“Dan “Alhamdulillah dengan maklum balas pelanggan, setakat ini kita dapat balik modal dan sambutan sangat baik,” katanya lagi.

Jurugambar BagiStudio&Cero4 memberi panduan kepada pelanggan ketika sesi fotografi bagi memastikan setiap gaya dan komposisi menghasilkan gambar terbaik ketika tinjauan MalaysiaGazette (MG) Perak di Persiaran Lapangan Siber, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 22 MAC 2026.

Mengulas berkenaan trend bergambar di studio, Abdul Rahman berpandangan, ia akan terus kekal dan berkembang kerana Aidilfitri menjadi waktu terbaik untuk mengumpulkan seluruh ahli keluarga.

“Pada saya trend ini akan terus bertahan kerana hari raya adalah masa terbaik untuk semua ahli keluarga berkumpul dan mereka mahu simpan kenangan bersama melalui gambar,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengusaha studio di Bandar Seri Botani di sini, Muhammad Sulaim Bahrin, 24, berkata, peningkatan permintaan dapat dilihat ketara apabila jumlah tempahan meningkat hampir tiga kali ganda berbanding tahun lalu.

Pemilik BagiStudio&Cero4, Muhammad Sulaim Bahrin ketika temubual bersama MalaysiaGazette (MG) Perak di BagiStudio&Cero4, Persiaran Lapangan Siber, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 22 MAC 2026.

Menurutnya, tempahan sesi fotografi paling tinggi lazimnya berlaku pada hujung minggu dan waktu malam sekitar bulan Ramadan, selain sesi pada hari pertama dan kedua Aidilfitri yang sentiasa penuh.

“Ini merupakan tahun kedua kami buka studio ini dan pada tahun lalu, kita dapat jumlah sekitar 90 tempahan. Akan tetapi tahun ini jumlah itu meningkat kepada lebih 300 pelanggan.

“Biasanya minggu kedua bulan Ramadan dan minggu terakhir sebelum hari raya memang sangat padat. Pada hari Sabtu dan Ahad memang penuh, begitu juga waktu malam hari bekerja.

“Hari raya pertama sahaja kita buka sekitar 40 slot dari jam 9 pagi hingga 12 tengah malam, dan semuanya habis ditempah,” katanya lagi.

Pemilik BagiStudio&Cero4, Muhammad Sulaim Bahrin (kanan) tidak menang tangan mengurus tempahan dan menyelia proses suntingan gambar pelanggan sempena Hari Raya Aidilfitri ketika tinjauan MalaysiaGazette (MG) Perak di Persiaran Lapangan Siber, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 22 MAC 2026.

Ujarnya, pakej yang ditawarkan pula kebanyakannya berada dalam julat harga antara RM100 hingga RM200, dengan tambahan caj dikenakan bagi perkhidmatan tambahan.

“Kita sasarkan pakej antara RM100 hingga RM200, manakala caj tambahan seperti individu dewasa RM15 dan kanak-kanak RM10 bergantung kepada permintaan pelanggan,” katanya.

Dalam pada itu Muhammad Sulaim berkata, berdasarkan kepada trend semasa, dia menjangkakan permintaan untuk bergambar hari raya dalam studio akan terus meningkat.

BagiStudio&Cero4 tampil dengan konsep dekorasi minimalis dan moden bagi memenuhi permintaan semasa ketika tinjauan MalaysiaGazette (MG) Perak di Persiaran Lapangan Siber, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 22 MAC 2026.

Namun katanya, sebagai pengusaha studio, mereka perlu lebih kreatif bagi mengekalkan daya saing yang semakin kompetitif di samping memenuhi permintaan yang semakin tinggi.

“Permintaan memang akan naik, tetapi apabila semakin ramai sudah buka studio, konsep akan jadi sama. Jadi, sebagai pengusaha kita kena ikut perkembangan semasa dan sentiasa tampilkan idea baharu.

“Mungkin selepas ini konsep studio akan lebih kepada suasana luar seperti latar rumah kampung atau elemen ‘outdoor’ walaupun ia konsep bergambar sama seperti dalam studio,” ujarnya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Persiapan awal, perbelanjaan berhemah jadi pendekatan sambut Aidilfitri

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI