PARIT BUNTAR – Dua lelaki maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan motosikal di Jalan Baru, Kampung Seri Makmur, Batu 7, Kuala Kurau, di sini pada awal pagi Selasa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian itu pada jam 1.24 pagi.
Katanya, sejurus selepas itu seramai lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kurau digerakkan ke lokasi kemalangan jalan raya terbabit.

“Kemalangan jalan raya itu melibatkan dua kenderaan iaitu sebuah kereta jenis Perodua Bezza dan sebuah motosikal jenis Yamaha Ego Gear.
“Setibanya pasukan bomba di tempat kejadian didapati terdapat seorang mangsa lelaki dewasa berusia 26 tahun iaitu penumpang kereta, telah berada di bawah kenderaan terbabit.
“Manakala, seorang penunggang motosikal lelaki berusia lingkungan 21 tahun didapati telah tercampak dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya di sini, pada Selasa.

Pasukan bomba sedang membawa keluar mangsa berusia 26 tahun yang tersepit di bawah kereta menggunakan peralatan khas susulan kemalangan jalan raya antara sebuah kereta dan motosikal di Jalan Baru, Kampung Seri Makmur, Batu 7, Kuala Kurau. Foto JBPM Perak
Menurut beliau, seorang lagi mangsa yang merupakan pemandu kereta berusia dalam lingkungan 20-an mengalami kecederaan dan telah dibawa ke Hospital Parit Buntar oleh ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebelum ketibaan bomba.
Sabarodzi berkata, pasukan bomba kemudian menjalankan operasi menyelamat dengan mengeluarkan mangsa berusia 26 tahun yang tersepit di bawah kenderaan menggunakan peralatan khas.
“Anggota bomba menggunakan peralatan ‘air lifting bag’ dan pengusung bagi mengeluarkan mangsa yang berada di bawah kereta.
“Mangsa tersebut kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” jelasnya.
Operasi yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan (PBK) II TBK, Mohd Azlan Syah Mohammed itu tamat pada jam 2.50 pagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


