TANJUNG MALIM – Polis Perak akan mempertingkatkan kawalan dan rondaan di sempadan darat Malaysia–Thailand terutamanya di Pengkalan Hulu, Gerik bagi mengekang aktiviti penyeludupan minyak diesel yang boleh menjejaskan pasaran tempatan.
Langkah itu diambil susulan perbezaan harga diesel antara kedua-dua negara, dengan harga di Thailand dilaporkan lebih rendah iaitu sekitar RM4 hingga RM5.02 seliter berbanding RM6.02 seliter di Malaysia.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, pihaknya peka terhadap situasi tersebut dan telah meningkatkan pemantauan serta rondaan di kawasan sempadan.
Menurutnya, kawalan keselamatan diperkukuhkan dengan melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA).
“Polis ambil maklum, Perak bersempadan dengan Thailand di Pengkalan Hulu dan memang kita mempertingkatkan rondaan oleh pasukan keselamatan seperti PGA dan kita juga peka dengan perkara ini.
“Memang itu pun saranan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada ucapan utama semasa sambutan Hari Polis di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur tempoh hari.
“Pihak polis pun kena peka perkembangan semasa di Timur Tengah, kerana ia memang memberi kesan kepada keselamatan baik dari segi keselamatan dan ekonomi.
“Jadi memang kita pihak polis disarankan untuk mengambil langkah-langkah perlu,” katanya selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Daerah Muallim di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim, Slim River di sini pada Khamis.
Beliau berkata, perkembangan semasa termasuk faktor geopolitik antarabangsa turut memberi kesan kepada aspek keselamatan dan ekonomi negara, justeru pihak polis akan terus mengambil langkah proaktif bagi memastikan keadaan kekal terkawal.
Terdahulu Kementerian Kewangan dilaporkan berkata, konflik berpanjangan di Asia Barat telah mendorong harga minyak mentah global naik lebih 40 peratus melebihi USD100 setong, sekali gus meningkatkan risiko gangguan bekalan minyak global.
Katanya, sejak krisis Asia Barat meletus, kerajaan tidak mengapungkan sepenuhnya harga runcit di pam malah masih menampung sebahagian kos subsidi petrol dan diesel bagi tempoh tiga minggu berturut-turut. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kerajaan tanggung subsidi petrol, diesel cecah RM4 billion sebulan – MOF


