IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak segelintir pihak yang mendakwa negara seharusnya tidak menghadapi sebarang krisis bahan api susulan situasi di Asia Barat minyak memandangkan Malaysia merupakan negara pengeluar minyak.
Menurut beliau, syarikat minyak dan gas nasional, Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) merupakan syarikat berstatus pengimport bersih bahan api, dan bukan pengeksport yang sebagaimana difahami sebelum ini.
“Petronas itu bukan ‘net exporter’ (pengeksport bersih), (sebaliknya) sekarang ialah pengimport bersih, (yang mana) kita kena beli minyak.
“(Dan ketika ini, bahan api yang) kita ada (dalam) simpanan sekarang kita dapat jamin untuk April dan Mei, cukup. (Cuma untuk bulan) Jun tunggu dulu, belum tentu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program MADANI Rakyat 2026 Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming serta Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Tambah Anwar, kerajaan kini sedang melaksanakan pelbagai usaha dalam memastikan rakyat tidak terbeban ekoran ketidaktentuan global termasuk konflik di Negara Teluk yang memberi kesan langsung kepada ekonomi dunia.
Ujar Perdana Menteri, ketika ini beliau bermesyuarat dengan pemikir dan ahli ekonomi serta Petronas pada hampir setiap hari untuk mengetahui perkembangan semasa di rantau itu.
Pada masa sama Anwar berkata, beliau tidak mempunyai masalah sekiranya berdepan dengan sebarang kritikan terhadap usaha yang dilakukan, walau bagaimanapun ia perlu bersandarkan kepada fakta.
“Kadang-kadang ada yang tidak tahu apa pun. Kata kenapa kapal Petronas boleh lalu di Selat Hormuz, tetapi kenapa harga barang mahal, harga minyak mahal. Ini kalau saya nak kata tidak mengaji, apa yang ‘bodoh’ sangat ini?
“Harga minyak itu tidak sama. Ia ada insurans, (harga) insurans itu melambung naik. Kemudiannya, ‘freight charge’ (caj pengangkutan), harga perjalanan kapal itu tinggi. Dan semua ini menyebabkan peningkatan kos (bahan api).
“Tetapi kita masih bertahan, bayangkan negara mana yang (masih) boleh bertahan dengan (harga petrol) RM1.99 (seliter) BUDI95 (Budi Madani RON95),” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kerajaan akan berusaha sedaya mungkin kekalkan RON95 pada RM1.99 seliter – PM Anwar


