KUALA LUMPUR – Malaysia mengesahkan telah memenuhi 100 peratus kuota haji bagi musim 1447H, sekali gus menandakan persiapan jemaah negara ke Tanah Suci berada pada tahap akhir.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan memaklumkan, semua urusan utama termasuk pengeluaran visa haji dan Kad Nusuk telah selesai sepenuhnya.
Menurut beliau, perkembangan itu memberi keyakinan bahawa perjalanan ibadah haji jemaah Malaysia akan berjalan lancar seperti dirancang.
“Malaysia telah memenuhi kuota 100 peratus kuota haji 1447H. Kita pun sudah keluarkan visa termasuk kad nusuk,” katanya.
Beliau menjawab soalan media berkaitan proses rayuan Haji selepas program Kursus Perdana Haji peringkat Wilayah Persekutuan di Dewan Solat, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini malam ini.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) Mustakim Mohamad serta Pengarah Haji TH, Hishan Harun.

Untuk rekod, Kad Nusuk yang berfungsi sebagai dokumen rasmi pengenalan diri jemaah haji diperkenalkan tiga tahun lepas membantu memudahkan jemaah haji dari seluruh dunia untuk memasuki Masjidil Haram di Mekah, Masjid Nabawi di Madinah serta tempat-tempat ibadah haji lain ketika mengerjakan Rukun Islam kelima itu.
Dalam pada itu, Zulkifli turut menjelaskan setakat ini tiada lagi halangan besar yang boleh menjejaskan persiapan jemaah untuk berlepas ke Arab Saudi dalam masa terdekat.
Tambahnya, proses dokumentasi yang lengkap membuktikan kesiapsiagaan semua agensi terlibat dalam memastikan kelancaran operasi haji tahun ini.
“Semua jemaah sudah tidak sabar untuk terbang menunaikan Haji di Tanah Suci,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Zulkifli turut menasihatkan jemaah supaya sentiasa berwaspada terhadap perkembangan semasa termasuk situasi geopolitik di rantau Asia Barat serta mematuhi segala arahan yang ditetapkan oleh TH sepanjang berada di Tanah Suci.
Beliau berkata kerajaan Malaysia dan TH sentiasa memantau perkembangan semasa serta bekerjasama rapat dengan kerajaan Arab Saudi yang telah memberi jaminan keselamatan dan kebajikan jemaah haji sentiasa terpelihara. – MalaysiaGazette


