IPOH – Kejadian pergaduhan sehingga mengakibatkan seorang lelaki maut akibat ditetak di kawasan Buntong di sini, semalam dipercayai disebabkan oleh perselisihan antara kumpulan dan tidak melibatkan unsur perkauman.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, kes berkenaan masih dalam siasatan dan setakat ini seorang suspek telah ditahan bagi membantu siasatan.
Menurutnya, suspek yang ditahan dipercayai bekerja sebagai kerani dalam perkhidmatan kereta sewa.
“Insiden itu masih dalam siasatan. Setakat ini, kami telah menahan seorang suspek dan dia masih disiasat, namun berdasarkan siasatan awal, ia lebih kepada perselisihan antara kumpulan (gang dispute) dan tiada kaitan dengan isu perkauman.
“Suspek yang kita tangkap telah direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Seminar Pemerkasaan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) Kontinjen Perak di Dewan Bankuet Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan dua mangsa masih menerima rawatan di hospital dan berada dalam keadaan stabil.
“Itu kita tidak boleh nyatakan lagi sama ada mereka daripada mana-mana kumpulan atau sebaliknya. Biarkan dia menerima rawatan terlebih dahulu. Kita tidak boleh membuat sebarang andaian.
“Pihak polis akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memantau mangsa-mangsa terlibat memandangkan mereka juga merupakan saksi,“ ujarnya.
Noor Hisam turut memaklumkan, pihaknya akan menyiasat dari semua sudut, termasuk punca kejadian serta motif sebenar insiden ini berlaku.
Terdahulu, media melaporkan, seorang lelaki berusia 25 tahun maut dipercayai ditetak menggunakan parang dalam kejadian pergaduhan yang berlaku di kawasan Buntong malam tadi.
Susulan kejadian itu, seorang lelaki ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302, 326 dan 148 Kanun Keseksaan kerana membunuh, mendatangkan kecederaan parah dan merusuh. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


