IPOH: Sebanyak 163 kes buli direkodkan berlaku di sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di negeri ini sepanjang tahun lalu dengan kes terbanyak dicatatkan di dalam kawasan sekolah.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, berdasarkan sistem sepadu Kementerian Pendidikan Malaysia kes buli di negeri ini terbahagi kepada tiga iaitu dalam sekolah, asrama dan luar sekolah.
Beliau berkata daripada jumlah berkenaan sebanyak sebanyak 163 kes buli direkodkan berlaku di kawasan sekolah, 22 kes di asrama dan lima kes di luar sekolah.
“Daerah paling tinggi kes buli di negeri Perak bagi tahun 2025 adalah Kinta Utara iaitu sebanyak 42 kes yang melibatkan 39 kes kawasan sekolah, dua kes di asrama dan satu kes di luar sekolah.
“Manakala bagi tahun 2026 sehingga 28 Februari terdapat 24 kes buli yang berlaku dengan 18 di dalam kawasan sekolah, empat di kawasan asrama dan dua di luar sekolah.
“Daerah atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang tinggi (kes buli) setakat 28 Februari adalah PPD Mamnjung dengan enam di kawasan sekolah dan tiga di kawasan asrama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Chaw Kan Foon (DAP-Menglembu) pada Mesyuarat Pertama, Tahun Keempat, Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Khamis.
Khairudin berkata, kerajaan negeri memandang serius isu yang berlaku di institusi pendidikan dan komited melaksanakan pendekatan menyeluruh merangkumi aspek pencegahan.
Katanya selain itu, kerajaan negeri perlu memastikan sekolah dan institusi pendidikan ini merupakan ruang dan tempat yang selamat untuk menuntut ilmu.
“Oleh yang demikian, kerajaan negeri melalui Jabatan Pendidikan Negeri Perak mengambil langkah pencegahan dan juga penguatkuasaan bagi memastikan isu buli ini dicegah dan juga dikawal.
“Antara langkah dan inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan adalah seperti bengkel pemerkasaan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Murid Negeri Perak yang telah dilaksanakan pada awal Mac 2026.
“Pengisian ataupun tujuan bengkel ini adalah untuk memperkukuhkan kompetensi penolong kanan hal ehwal murid dalam mengurus isu-isu kritikal melibatkan murid khususnya kes buli dan juga kes berkaitan keselamatan seksual.
“Bengkel ini turut memberi fokus kepada pemahaman prosedur pentadbiran, mekanisme intervensi serta tindakan respon yang tepat dalam mengendalikan kes,” katanya. -MG Perak


