Timbalan Speaker tegaskan sidang DUN dikendalikan dengan adil, profesional

IPOH – Jenny Choy Tsi Jen menegaskan bahawa beliau telah mengendalikan Mesyuarat Pertama, Tahun Keempat, Dewan Negeri Ke-15 atau Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang sedang berlangsung ketika ini sebagai Timbalan Yang Dipertua dengan adil dan profesional.

Menurut beliau, tugas yang dipikul dilaksanakan dengan berpandukan kepada Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Negeri Perak selain memastikan perjalanan persidangan lancar dengan tidak memihak kepada mana-mana pihak.

“Sepanjang persidangan, saya telah berlaku adil kepada semua Ahli Dewan Negeri (ADUN) dengan memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk berbahas, mengemukakan soalan dan soalan tambahan serta mendapatkan penjelasan. Maka, dakwaan kononnya suara pembangkang disekat adalah tidak benar sama sekali,” katanya menerusi satu kenyataan, pada Isnin.

Tsi Jen berkata, justeru tuduhan pihak pembangkang ke atas beliau yang mempertikaikan caranya pada persidangan DUN pada Isnin dengan tuduhan berkenaan adalah tidak berasas.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Canning mendakwa pihak pembangkang cuba mengalihkan perhatian selepas gagal memainkan peranan dengan baik semasa persidangan berlangsung.

Kata beliau, situasi itu jelas dilihat apabila terdapat cubaan mengganggu sesi penggulungan oleh salah seorang Exco Kerajaan Negeri dengan membangkitkan dakwaan tidak berasas.

Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai perubatan yang tidak beradab serta tidak menghormati tertib persidangan DUN.

“Hakikatnya, beberapa ADUN pembangkang telah pun diberikan ruang dan peluang untuk bercakap dan mengemukakan soalan.

“Namun, ketika sesi penggulungan oleh Exco berlangsung, ketua pembangkang cuba mengambil kesempatan dengan membangkitkan dakwaan yang tidak berasas serta berpotensi memesongkan perjalanan Dewan. Beliau belum mendapat izin untuk bercakap, namun terus mencelah,” katanya.

Justeru itu Tsi Jen berkata, beliau mengambil keputusan untuk tidak membenarkan gangguan berterusan bagi memastikan ketenteraman DUN terpelihara dan urusan persidangan dapat diselesaikan dengan sempurna.

Tegas beliau, pihak pembangkang seharusnya menumpukan kepada perbahasan yang berasaskan kepada fakta dan cadangan membina sekiranya benar-benar memperjuangkan kepentingan rakyat.

“Sekiranya pihak pembangkang benar-benar prihatin terhadap isu rakyat, mereka sepatutnya berhujah dengan fakta, data dan cadangan yang membina di dalam dewan. Dan bukannya mengadakan sidang media selepas itu untuk menampilkan diri sebagai mangsa serta cuba mengelirukan rakyat,” katanya lagi.

Tambah beliau, sebagai Timbalan Yang Dipertua DUN, beliau akan terus melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab demi menjaga martabat institusi Dewan Negeri.

“Saya akan terus melaksanakan amanah ini dengan penuh profesionalisme, adil dan bertanggungjawab demi memastikan setiap ADUN dapat menjalankan peranan masing-masing mengikut lunas peraturan yang ditetapkan.

“Saya tidak akan membenarkan institusi Dewan Negeri yang mulia ini diperalatkan dan disalahgunakan untuk kepentingan politik murahan,” ujarnya.

Terdahulu Ketua Pembangkang, Razman Zakaria menerusi sidang media bersempena persidangan DUN pada Isnin berkata, pihaknya tidak berpuas hati dengan cara Timbalan Yang Dipertua Dewan ketika mengendalikan persidangan.

ADUN Gunung Semanggol itu mendakwa, pihak pembangkang tidak diberikan ruang untuk mendapatkan penjelasan terhadap beberapa isu semasa Exco Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina Perak, Woo Kah Leong sedang berucap pada Sesi Penggulungan Perbahasan Titah DiRaja Sultan Perak.

“Tetapi apa yang berlaku adalah beliau tidak memberi peluang langsung, sebaliknya (meminta pembangkang agar) terus merujuk hal tersebut kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN.

“Apa yang kita nampak sekarang ini seolah-olah mereka cuba menafikan peranan pihak pembangkang sebagai semak dan imbang,” dakwa Razman. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Akta GSA 1960: Perak tidak serah tanah kepada Persekutuan

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI