IPOH – Kerajaan Negeri Perak melalui Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak (PPANPk) komited untuk memperluaskan peranan perpustakaan sebagai pemangkin kesejahteraan rakyat dengan memastikan akses ilmu yang inklusif, merapatkan jurang digital serta memperkukuh budaya membaca dalam kalangan masyarakat.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, bagi mendukung aspirasi Perak Sejahtera 2030, perpustakaan dilihat sebagai institusi strategik dalam memperkasa pembangunan modal insan yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.
“Perpustakaan bukan lagi sekadar pusat pinjaman bahan bacaan, tetapi telah berkembang sebagai hab ilmu, inovasi dan komuniti yang menyediakan akses kepada maklumat digital, pembelajaran sepanjang hayat serta ruang interaksi masyarakat.

“Usaha ini diyakini mampu melahirkan masyarakat celik ilmu yang seimbang dari segi intelektual, sosial dan nilai kemanusiaan, seterusnya menyumbang kepada pencapaian visi Perak Sejahtera 2030,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Sambutan Minggu Perpaduan 2026 Zon Utara, Jom Baca Bersama 10 Minit 2026 dan Dekad Membaca Kebangsaan yang dirasmikan Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R Yuneswaran di Stadium Indera Mulia di sini, hari ini.
Khairudin yang juga Pengerusi PPANPk turut meluahkan rasa bangga kerana penganjuran program kali ini turut disokong dengan pelbagai pengisian berteraskan ilmu dan pembelajaran melalui Bazar Buku Perak 2026 sebagai salah satu komponen dalam Sambutan Minggu Perpaduan.

“Pengisian yang dirangka merangkumi sesi bual bicara dan perkongsian ilmu yang menyentuh aspek kesejahteraan diri selaras dengan usaha memperkukuh pembangunan masyarakat yang berilmu dan sejahtera.
“Di samping itu, pelbagai aktiviti interaktif turut disediakan bagi menarik penyertaan semua lapisan masyarakat, termasuk bengkel kreatif seperti seni khat, doodle art dan batik, aktiviti santai berunsur pembelajaran seperti Kahoot!, serta program penceritaan kanak kanak bersama Uncle Nai dan maskot Dina dan Didi.
“Turut diadakan ialah demonstrasi dan persembahan kebudayaan seperti gamelan dan kompang, yang secara keseluruhannya melengkapkan pengalaman pembelajaran dalam suasana yang inklusif, santai dan berinformasi,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
37 Perpustakaan Desa dinaik taraf secara berperingkat tahun ini


