PASIR SALAK – Seramai 120 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manik diraikan dalam satu majlis khas, di sini.
Kesemua mereka yang memperoleh 5A hingga 10A menerima sumbangan wang tunai antara RM200 hingga RM400 di bawah inisiatif program pelajar cemerlang digerakkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Skuad Prihatin.
Penaung Skuad Prihatin, Mohd Nazari Sabran berkata, sumbangan yang diberikan untuk tahun ketiga itu bertujuan menghargai usaha pelajar terlibat selain meraikan kejayaan mereka yang mengharumkan DUN Sungai Manik.
“Saya mengharapkan supaya program ini dapat diteruskan untuk membantu anak-anak Sungai Manik yang cemerlang dalam peperiksaan .
“Saya juga ada berpesan kepada anak-anak DUN Sungai manik selepas ini apabila menerima surat tawaran jika berhadapan dengan masalah boleh berjumpa dan saya akan bantu sebaiknya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Kenduri Rakyat Aidilfitri DUN Sungai Manik 2026 di Dewan Besar Parit 6/6 Pekan Rabu, di sini, baru-baru ini.

Menurut Mohd Nazari, bagaimanapun tahun ini beliau membawa kelainan dengan turut memberi sumbangan kepada pelajar cemerlang SPM dari DUN Sungai Manik yang bersekolah di luar dari kawasan berkenaan.
“Sebelum ini kita memberi sumbangan kepada pelajar cemerlang dari empat buah sekolah menengah di DUN Sungai Manik, namun tahun ini kita buka kepada mereka yang bersekolah di luar kawasan juga,” katanya.
Sementara itu, Mohd Nazari berkata, lebih 5,000 orang hadir pada Kenduri Rakyat Aidilfitri DUN Sungai Manik 2026 yang melibatkan kerjasama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) itu.
Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak berkata, pelbagai pengisian lain diadakan termasuk penyampaian kotak bantuan kepada 250 keluarga serta sumbangan kepada 26 bakal jemaah haji dari kawasan berkenaan.
“Walaupun persiapan agak mencabar dengan pertambahan penerima pada saat akhir, Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dengan sokongan pelbagai pihak,” katanya. -MG Perak


