IPOH – Anggota Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bakal berdepan tindakan Perintah Khidmat Masyarakat dan disiplin susulan tindakan membuang puntung rokok dari kenderaan majlis itu sebagaimana dalam video tular di media sosial.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, tindakan itu bakal diambil ke atas individu terbabit sekiranya hasil siasatan mendapati wujud kesalahan pembuangan sampah kecil tersebut.
“Sudah banyak kali saya terangkan bahawa tidak kira kamu siapa, ada (gelaran) Tan Sri ke, Datuk Seri ke ataupun kakitangan (Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)), sesiapa sahaja (boleh dikenakan tindakan) kerana undang-undang adalah sama dan adil kepada semua.
“Jika kena tangkap kerana buang puntung rokok, dan dia adalah kakitangan PBT. bukan sahaja Perintah Khidmat Masyarakat, tindakan disiplin juga wajib dikenakan kepada beliau.
“Ini kerana (sebagai) pemimpin terutamanya kakitangan PBT, mereka wajib menjadi contoh dan teladan yang baik (kepada masyarakat),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan (JPKK) Kampung Baru Cina kepada 160 penerima di sini, pada Jumaat.
Hadir sama, Exco Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina Perak, Woo Kah Leong.
Mengulas lanjut Kor Ming berkata, seramai 3,000 individu telah dikenakan tindakan di bawah Perintah Khidmat Masyarakat setakat ini, termasuk membabitkan golongan ibu mengandung dan warga asing.
“Ketika ini seramai 3,000 orang sedang beratur untuk bantu negara kita membersihkan jalan raya. Dan pada minggu lepas seorang individu warganegara China sudah menjalani perintah tersebut.
“Sebab itu senang sahaja, jika tidak mahu sapu jalan selama 12 jam, jangan buang sampah (merata-mata). Kerana sampah tempatnya di tong sampah,” katanya lagi.
Terdahulu media melaporkan, MBSA merujuk insiden individu yang membuang puntung rokok dari kenderaan majlis itu Bahagian Integriti MBSA untuk siasatan lanjut.
MBSA dalam satu kenyataan dilaporkan memaklumkan, ia supaya tindakan sewajarnya dapat diambil mengikut Kaedah-kaedah Pegawai Majlis Bandaraya Shah Alam (Kelakuan dan Tatatertib) 2023.
Sejak kelmarin, tular di media sosial video seorang individu dilihat membuang puntung rokok dari sebuah kereta yang tertera logo dan perkataan MBSA ketika kenderaan itu berhenti di persimpangan lampu isyarat.
Video itu mencetuskan perdebatan apabila ramai yang mempertikaikan sama ada agensi berkenaan boleh dikenakan tindakan saman sama seperti orang awam yang melakukan kesalahan serupa. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Buang puntung rokok dari kenderaan pejabat, MBSA jalankan siasatan


