Biasiswa Menteri Besar bantu perkasa pendidikan pelajar B40

KERAJAAN Negeri Perak amat menitikberatkan pendidikan sebagai teras pembangunan modal insan berkualiti dan berdaya saing bagi melahirkan generasi yang mampu menghadapi cabaran global serta menyumbang kepada kemajuan negeri secara mampan.

Melalui Flagship Perak Sejahtera 2030 (Pendidikan), pelbagai usaha dilaksanakan bagi memperkasa sektor ini menerusi Pelan Strategik Pemerkasaan Pendidikan Sejahtera 2030 yang menekankan pendidikan inklusif, pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pembelajaran sepanjang hayat.

Inisiatif ini turut merangkumi pemberian bantuan Mahasiswa Perak Sejahtera, di samping kerjasama erat dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi memastikan akses kepada pendidikan berkualiti dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

Program Biasiswa Menteri Besar juga adalah salah satu inisiatif yang menyediakan bantuan kewangan secara one-off bagi membantu pelajar anak negeri, khususnya daripada golongan B40, menampung kos pendidikan, termasuk keperluan persekolahan serta persediaan menghadapi peperiksaan utama.

Ini mencerminkan komitmen tinggi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad terhadap pembangunan pendidikan di negeri ini.

7,627 pelajar terima manfaat sejak 2019

Sejak diperkenalkan pada tahun 2019, program ini telah memberi manfaat kepada 7,627 pelajar dengan jumlah perbelanjaan melebihi RM8.12 juta, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperluas akses pendidikan kepada anak-anak Perak.

Pada tahun ini, seramai 900 pelajar disasarkan menerima biasiswa tersebut melibatkan kategori Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), dengan kadar bantuan RM1,000 bagi calon SPM serta RM1,200 bagi calon STPM dan STAM.

Biasiswa Menteri Besar bantu perkasa pendidikan pelajar B40
Muhammad Waliy Aqil Mohd Fazli, 17, ketika temubual bersama media pada Majlis Penganugerahan Sijil Penghargaan Biasiswa Menteri Besar Perak Tahun 2026 Kepada Pelajar Cemerlang SPM & Penyerahan Mock Cheque Biasiswa Agrotek Perak SADC-YP di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, pada Rabu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Penerima, Muhammad Waliy Aqil Mohd Fazli, 17, dari Sekolah Izzuddin Shah berkata, biasiswa yang diterima akan dimanfaatkan sebaik mungkin bagi membeli bahan rujukan untuk digunakan sebagai persediaan SPM yang akan didudukinya pada tahun ini.

Anak sulung daripada empat adik beradik ini, menyasarkan untuk mencapai keputusan cemerlang pada peperiksaan tersebut bagi membalas jasa ibu bapa yang banyak berkorban untuknya selama ini.

“Biasiswa ini boleh membantu saya untuk beli lebih banyak bahan-bahan rujukan macam buku-buku latihan supaya saya boleh pertingkatkan lagi pengetahuan dalam subjek yang saya tak tahu.

“Macam subjek-subjek sukar, kalau bagi saya Biologi dengan Matematik Tambahan, jadi, saya banyakkan latihan dengan subjek-subjek itu. Saya banyak buat latihan-latihan SPM (soalan SPM  tahun sebelumnya).

“Perkara yang jadi semangat untuk saya untuk capai straight A SPM, saya nak banggakan mak ayah saya sebab mereka dah banyak berkorban untuk saya punya pelajaran, pakaian, asrama dan segalanya. Jadi, saya nak balas jasa mereka dengan straight A,” katanya.

Beli buku rujukan SPM

Seorang lagi penerima, N Nirosh, 17, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri atas pemberian biasiswa yang menjadi pendorong semangat untuknya terus mengejar cita-cita menjadi doktor haiwan pada masa hadapan.

Biasiswa Menteri Besar bantu perkasa pendidikan pelajar B40
N Nirosh, 17, ketika temubual bersama media pada Majlis Penganugerahan Sijil Penghargaan Biasiswa Menteri Besar Perak Tahun 2026 Kepada Pelajar Cemerlang SPM & Penyerahan Mock Cheque Biasiswa Agrotek Perak SADC-YP di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, pada Rabu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 22 APRIL 2026.

“Saya sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberi biasiswa ini kepada saya. Saya harap dengan ini saya dapat mencapai cita-cita saya untuk menjadi doktor haiwan dan dapat membantu (keluarga),” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak baru-baru ini.

Pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Ave Maria Convent, Lai Ke Ying, 17, meluahkan rasa terharu kerana kerajaan negeri prihatin amat mementingkan kebajikan pelajar yang memerlukan.

“Kerajaan negeri amat mementingkan saya sebagai seorang pelajar sejak tingkatan empat tahun lalu. Rasa gembira mesti ada kerana terpilih untuk menerima biasiswa ini.

Biasiswa Menteri Besar bantu perkasa pendidikan pelajar B40
Lai Ke Ying, 17, ketika temubual bersama media pada Majlis Penganugerahan Sijil Penghargaan Biasiswa Menteri Besar Perak Tahun 2026 Kepada Pelajar Cemerlang SPM & Penyerahan Mock Cheque Biasiswa Agrotek Perak SADC-YP di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, pada Rabu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 22 APRIL 2026.

“Biasiswa yang diterma saya boleh guna untuk beli buku rujukan, alat tulis, ataupun buatsumbangan untuk keluarga saya. Kerana keluarga saya pun perlukan duit yang banyak untuk menanggung kehidupan kami,“ ujarnya yang bercita-cita untuk menjadi seorang doktor.

Pemilihan pelajar menerusi PPD

Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Pendidikan Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar menyatakan rasa bangga dengan pembiayaan kewangan bagi membantu pelajar bagi memastikan pendidikan di negeri ini terus cemerlang.

“Saya amat berbangga dengan bantuan dan saluran kewangan yang tidak putus-putus daripada kerajaan negeri melalui Yayasan Perak dan ini sebagai satu motivasi juga untuk guru-guru dalam memastikan Perak terus cemerlang di arena pendidikan,“ katanya.

Biasiswa Menteri Besar bantu perkasa pendidikan pelajar B40
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Katanya, pemilihan penerima biasiswa ini dilakukan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mengikut kriteria yang telah ditetapkan.

“Kita minta setiap PPD menyenaraikan pelajar yang memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan. Pelajar yang terpilih biasanya dilihat dari segi kecemerlangan akademik dan juga dari segi latar belakang keluarga,“ ujarnya.

Saarani prihatin keperluan pendidikan anak Perak

Sementara itu, Pengurus Besar Yayasan Perak (YP), Dr Nasreen Khanum Nawab Zadah Khan berkata, pemberian biasiswa itu adalah simbol komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkasa pendidikan anak-anak negeri itu.

Menurut beliau, Perak bertuah kerana dipimpin oleh seorang Menteri Besar yang berlatarbelakangkan bidang pendidikan dan memahami keperluan pelajar, khususnya daripada golongan B40.

“Kita berharap inshaAllah dengan bantuan RM1,000 yang diberikan secara one-off kepada anak-anak Perak ini, ia akan menjadi perangsang, motivasi dan menyuntik semangat baru kepada mereka untuk merasakan bahawa mereka sentiasa disokong oleh kerajaan negeri.

“Menjadi keutamaan kita untuk memastikan pelajar-pelajar B40 ini mempunyai pendidikan yang berkualiti dan ada akses kepada pendidikan yang sewajarnya. Itulah matlamat utama,“ jelasnya.

Biasiswa Menteri Besar bantu perkasa pendidikan pelajar B40
Pengurus Besar Yayasan Perak, Dr. Nasreen Khanum Nawab Khan pada Majlis Penganugerahan Sijil Penghargaan Biasiswa Menteri Besar Perak Tahun 2026 Kepada Pelajar Cemerlang SPM & Penyerahan Replika Cek Biasiswa Agrotek Perak SADC-YP di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, pada Rabu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Beliau turut memaklumkan pencapaian cemerlang penerima biasiswa pada tahun lalu membuktikan keberkesanan inisiatif tersebut dalam meningkatkan prestasi akademik pelajar.

“Alhamdulillah, penerima biasiswa telah mencatatkan satu keputusan yang amat baik di mana kita ada 30 pelajar yang mendapat keputusan straight A untuk SPM tahun lalu.

“Jadi, kita nampak bahawa dorongan daripada biasiswa ini sedikit sebanyak menggalakkan mereka untuk terus berusahalah dan kita harap dengan pemberian biasiswa pada tahun ini, anak-anak ini juga akan cemerlang dan mencatatkan keputusan yang baik untuk SPM 2026,“ katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Biasiswa Agrotek SADC-YP bantu mahasiswa lahirkan inovasi pertanian

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI