DITUBUHKAN pada 2024, Akademi Ragbi Ipoh (ARAI) memberi peluang kepada ahlinya untuk meneruskan minat dan mengasah bakat mereka dalam sukan berkenaan.
Malah akademi yang mengumpul pelajar sekolah rendah dan menengah di daerah Kinta ini turut menyokong hasrat kerajaan negeri dalam pembangunan sukan selari dengan Pelan Perak Sejahtera 2030.
Bercakap kepada Malaysia Gazette (MG) Perak, Presiden Persatuan Ragbi Daerah Kinta, Faizal Haramaini berkata, ARAI ditubuhkan selepas melihat situasi pembangunan dan kesinambungan bakat sukan tersebut di daerah itu berhadapan dengan cabaran dan kesukaran.
Menurut beliau, terdapat 16 buah sekolah rendah dalam daerah berkenaan mempunyai pasukan ragbi bawah 12 tahun berbanding empat buah sekolah di peringkat menengah.
“Bayangkan 16 pasukan di bawah usia 12 tahun mereka bermain ragbi tetapi apabila melangkah ke sekolah menengah hanya ada empat buah sekolah saja.

“Sekolah menengah yang ada pasukan ragbi adalah Sekolah Menengah Kebangsaaan (SMK) St. Michael, SMK Anderson, SMK Tuanku Abdul Rahman (STAR) dan Kolej Vokasional Ipoh dengan dua daripadanya adalah kemasukan khas.
“Jadi persatuan melihat ada keperluan untuk mewujudkan sebuah akademi bagi membolehkan pemain ragbi semasa sekolah rendah meneruskan bakat mereka sekiranya tidak memasuki empat sekolah tersebut,” katanya.
Miliki 170 pemain ragbi, paling muda usia tujuh tahun
Faizal berkata, bagi merealisasikan pelaksanaanya, Persatuan Ragbi Daerah Kinta merangka latihan berstruktur yang dijalankan setiap hujung minggu dengan fokus memastikan pelajar-pelajar yang tamat sekolah rendah mempunyai kesinambungan latihan di peringkat menengah.
“Alhamdulillah kita mendapat kerjasama dari SMK Anderson untuk menjalankan latihan di padang sekolah berkenan serta menggunakan fasiliti mereka,” katanya.

Tambah beliau, meskipun berusia setahun lebih ARAI kini memiliki 170 pemain ragbi yang datang dari pelbagai kawasan dalam daerah Kinta.
“Kita telah membuka penyertaan ARAI ini bermula dari usia sembilan tahun sehingga 17 tahun namun kalau mengikut data terkini kita ada peserta dari usia tujuh tahun.
“Kita memberi tumpuan kepada latihan-latihan asas dan bagi mereka yang di bawah usia kita akan fokus kepada keselamatan dan juga keseronokan bermain sukan ragbi itu sendiri,” katanya.
Pembangunan bakat sukan tempatan sahut Perak Sejahtera 2030
Ditanya bagaimana ARAI menyokong hasrat kerajaan negeri melalui pembangunan sukan selari dengan Pelan Perak Sejahtera 2030, Faizal berkata, ia dibuktikan dengan keahliannya merupakan anak tempatan.
Jelas beliau, berbanding pasukan lain terutamanya di sekolah para pemain bukan sahaja terdiri daripada anak Perak namun juga mereka dari luar yang bersekolah di sekolah berkenaan.
“Apa yang menariknya ARAI ini kita ambil atlet-atlet daripada masyarakat di Ipoh sendiri dan ia sangat penting kerana dalam Perak Sejahtera 2030 sendiri mahu pastikan bahawa perkembangan dan pembangunan bakat tempatan itu dijadikan keutamaan.

“Jadi apa yang ARAI telah gerakkan selari dengan Perak Sejahtera dan sebab itu ketika persatuan datangkan idea ini kepada Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah beliau orang pertama menyambut baik cadangan ini,” katanya.
Tambah Faizal, hasilnya selepas setahun ditubuhkan akademi ragbi berkenaan berjaya mengembangkan bakat ahlinya sehingga berjaya beraksi di peringkat kebangsaan pada Kejohanan Super Schools Rugby (SSR) 2026.
“Ia memberi satu lebaran baharu kepada semua atlet-atlet di Ipoh untuk orang kata menanamkan hasrat untuk beraksi dalam kejuanan kebangsaan satu hari nanti,” katanya.
Sasar lahir ramai pemain ragbi berbakat dari Perak
Sementara itu, Jurulatih ARAI, Suhaimi Sudin berkata, meskipun setiap pemain berasal dari pelbagai tempat sekitar Ipoh, mereka memberi komitmen penuh termasuklah menghadiri latihan harian dan mingguan.
Beliau berkata, memandangkan ARAI merupakan satu-satunya akademi ragbi yang ada di Perak, setiap pemain menunjukkan semangat dan saling bekerjasama antara pasukan.

“Mereka ini datang untuk berlatih setiap hari dan kedatangan amat baik, displin mereka juga terbaik untuk kategori umur bawah 18 tahun.
“Bagi mereka ini adalah peluang untuk mereka belajar di bawah jurulatih-jurulatih yang kami ada,” katanya.
Suhaimi berkata, semua pemain ARAI bukan sekadar dilatih dari segi permainan tetapi juga dari segi mental, semangat dan juga sasaran mereka untuk ke peringkat seterusnya.
“Kami juga turut menerapkan kepada pemain-pemain ke mana arah mereka selepas berada dalam ARAI supaya mereka mempunyai sasaran untuk pergi ke peringkat yang lebih tinggi.
“Contohnya sasar untuk ke Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) dan pa lepasan sekolah pula mereka boleh sasarkan untuk ke kejohanan lebih tinggi seperti Sukan Malaysia (SUKMA) atau kejohanan tujuh sebelah kebangsaan,” katanya.
Beliau turut berkongsi kejayaan ARAI menjadi johan Majlis Sukan Sekolah Daerah (MMSD) Kinta bagi kategori bawah 18 tahun.

Katanya, selain itu pasukan akademi berkenaan juga berjaya menjuari kejohanan RSC bawah 15 tahun di Royal Selangor Club selain mengadakan perlawanan persahabatan di Kedah dan Pulau Pinang.
Beliau berkata, semua ini membuktikan bahawa pemain yang memasuki ARAI bukanlah sekadar datang untuk belajar namun mereka tahu hala tuju selepas itu.
Ditanya mengenai harapan beliau Suhaimi berkata, beliau berharap agar ARAI menjadi sebiah akademi ragbi utama di Perak dengan memiliki kelengkapan yang cukup dalam melahirkan bakat sukan berkenaan.
“Kita mahu ARAI melahirkan lebih ramai bakat-bakat pemain baharu untuk negeri Perak,” katanya.
ARAI asah bakat hingga mewakili akademi
Bagi Rayyan Iskandar Shahrul Nizam, 14, peluang menyertai ARAI membolehkannya mengasah bakat dalam sukan ragbi memandangkan sekolahnya tidak menawarkan sukan tersebut.
Menurutnya, meskipun pada mulanya dia tidak mempunyai pengetahuan asas mengenai ragbi kini dia berjaya memahiri sukan tersebut dan turut terpilih mewakili akademi dalam perlawanan ragbi.

Dia yang meyertai ARAI pada 2024 kini dipilih mewakili akademi berkenaan menyertai Kejohanan Super Schools Rugby (SSR) 2026.
“Sampai sekarang saya macam tidak percaya bila fikri yang saya akan bermain ragbi namun bila menyertai ARAI saya benar-benar nampak bakat yang ada pada saya.
“Bagi saya ARAI memberi peluang kepada saya untuk menunjukkan bakat dan saya rasa bangga dengan diri sendiri kerana berjaya memanfaatkan peluang ini,” katanya.
Rayyan Iskandar turut menyuarakan harapannya untuk mewakili negeri Perak dalam kejohanan besar sama ada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. -MG Perak


