SBP perlu ke hadapan capai kecemerlangan SPM – Khairudin

IPOH – Semua Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di Perak perlu berperanan sebagai penyumbang utama kepada kecemerlangan akademik negeri khususnya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun hadapan.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, institusi itu harus ke hadapan dalam pencapaian SPM pelajar menjadikan ia sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) utama.

“Pelajar yang masuk ke SBP ini telah melalui proses saringan yang ketat dan mereka ini lazimnya mempunyai nilai kecemerlangan dari segi akademik, kokurikulum serta kepimpinan yang baik.

“Jadi kita mengharapkan kecemerlangan SPM itu dijadikan KPI utama kerana ibu bapa menghantar anak ke SBP dengan harapan mereka mencapai keputusan yang cemerlang,” katanya.

SBP Perak kecemerlangan SPM kecemerlangan SPM Perak, sekolah berasrama penuh SBP, prestasi SPM 2025 Perak, GPN Perak meningkat, Khairudin Abu Hanipah pendidikan, KPI sekolah berasrama penuh, keputusan SPM negeri Perak
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah menyampaikan sijil Baiah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada program Bicara One Third High Terima Kasih Cikgu di Hotel MH, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF 27 APRIL 2026.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Bicara One Third High Terima Kasih Cikgu dan Baiah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Hotel MH, di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Pengarah Pendidikan Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar.

Media sebelum ini melaporkan Perak merekodkan keputusan SPM 2025 yang lebih baik dengan Gred Purata Negeri (GPN) 4.49 berbanding 4.63 pada tahun 2024.

Pencapaian itu menunjukkan peningkatan sebanyak 0.14 mata sekali gus meneruskan trend peningkatan prestasi negeri bagi tempoh tiga tahun berturut-turut sejak 2023.

Mengulas lanjut Khairudin berkata, usaha memperkasakan SBP akan terus diberi perhatian Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) termasuk melalui penambahbaikan dari segi pengurusan, kepimpinan dan sokongan tenaga pengajar.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah menandatangani Baiah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada program Bicara One Third High Terima Kasih Cikgu di Hotel MH, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF 27 APRIL 2026.

Kata beliau, usaha itu juga diyakini mampu melonjakkan lagi prestasi SBP sekali gus mengukuhkan peranan sekolah berkenaan sebagai antara tonggak utama kepada kecemerlangan akademik negeri.

Menurut beliau, pendekatan sama turut melibatkan sekolah-sekolah lain yang mempunyai sistem pengambilan pelajar berasaskan merit bagi memastikan ekosistem pendidikan yang lebih kompetitif dan berkualiti.

“Kita ada tujuh SBP di Perak, namun dalam SPM 2025 ada ruang yang perlu ditambah baik khususnya dari segi gred purata sekolah agar kembali kepada sasaran yang ditetapkan.

“Perkara ini telah saya bincangkan dengan Pengarah Pendidikan untuk melihat ruang penambahbaikan termasuk dari segi komposisi kepimpinan dan guru,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan Khairudin berkata, sebarang pelaksanaan terhadap program kecemerlangan pelajar di sekolah perlu dirancang dengan baik di samping mempunyai hala tuju jelas.

Ujar beliau, pendekatan berfokus itu penting bagi memastikan setiap peruntukan yang disalurkan kepada sekolah dapat memberi impak yang positif terhadap peningkatan prestasi pendidikan pelajar.

“Setiap program mesti ada objektif, sasaran dan impak. Kita tidak mahu program dibuat sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’ atau ‘syok sendiri’ tanpa hasil yang jelas.

“Sekolah perlu melihat kategori pelajar sama ada cemerlang, potensi cemerlang, lulus atau gagal supaya program yang dirangka benar-benar berfokus dan berkesan,” ujarnya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

120 pelajar cemerlang SPM DUN Sungai Manik diraikan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI